PETALING JAYA – Sepasang suami isteri yang merupakan pekerja kerajaan meluah perasaan di laman Facebook Kisah Rumah Tangga mengenai masalah kewangan yang mereka hadapi.
Menurut hantaran tersebut, pasangan suami isteri tersebut sedang bergelut dengan hutang sehingga baki gaji bulanan mereka tinggal sebanyak RM550 sahaja untuk perbelanjaan keluarga.
“Saya seorang isteri dan merupakan guru gred 41. Anak saya tiga orang. Suami saya pula kerja polis bawahan (konstabel) selama enam tahun.
“Bagaimanapun, kami menghadapi masalah kewangan serius. Duit gaji habis untuk bayar hutang. Suami pula dari dulu gajinya kecil kerana sudah potong macam-macam pinjaman,” katanya.
Menurut wanita tersebut, mereka masih belum berpeluang membeli rumah tetapi memiliki dua buah kenderaan iaitu sebuah Proton X70 dan sebuah Produa Bezza.
“Bayangkan, gaji saya tinggal RM400. Suami pula RM150. Belum termasuk hendak beli keperluan anak beranak lagi. Duit semua habis untuk bayar pinjaman semata-mata.
“Macam mana saya hendak atasi masalah ini. Ahli keluarga pula orang susah, malu saya hendak minta bantuan,” katanya.
Tambahnya, dia hanya meluahkan perasaan di platfom berkenaan untuk mendapatkan nasihat orang ramai.
Menurut wanita tersebut, suaminya seorang yang bertanggungjawab dan sangat rapat dengan anak-anak.
Kini, luahan hati wanita tersebut telah mendapat hampir 2,000 tanda suka di laman Facebook.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai tidak segan silu menyelar gaya hidup pasangan suami isteri tersebut yang disamakan dengan peribahasa biar papa asal bergaya.
“Maaflah, betul kata orang tua-tua. Ukur baju di badan sendiri. Tinggi sangat komitmen tu, cubalah bersederhana. Satukan gaji dengan suami, tengok perbelanjaan mana yang perlu dan mana yang tak perlu.
“Kereta kalau perlu dua buah cari yang mampu dibayar. Lagi satu, kenapa bila susah cakap suami yang gaji kecil? Padahal dari awal dah tahu kan?,” kata Mariam.
“Senaraikan dulu komitmen puan apa yang ada. Kemudian, cantas semua yang tidak perlu. Langsaikan hutang sikit-sikit sampai jadi kosong. Elakkan pergi beli belah benda tidak perlu. Semak balik perbelanjaan keluarga,” nasihat Normala. – KOSMO! ONLINE
No comments
Post a Comment