NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Israel bom selatan Gaza ketika pegawai Hamas tiba di Kaherah untuk rundingan gencatan senjata



GAZA: Israel menyerang selatan dan tengah Gaza awal hari ini ketika Mesir sedang menjadi tuan rumah kepada delegasi Hamas peringkat tinggi untuk rundingan bagi mencuba dan mengakhiri perang yang sudah berlarutan hampir 12 minggu.

Tentera Israel berkata, pihaknya sedang melanjutkan operasi di Khan Yunis dan sudah menghapuskan berpuluh-puluh sasaran di seluruh Gaza sejak 24 jam lalu.

Rakaman AFPTV menunjukkan kepulan asap memenuhi ruang udara Rafah, susulan serangan terbaru itu.

Semalam, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan serangan Israel berhampiran Al-Amal di Khan Yunis sejak dua hari lalu sudah membunuh 41 orang.

"Mangsa korban dalam serangan berulang Israel berhampiran lokasi itu termasuklah mereka yang sedang mencari perlindungan," katanya.

Pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, dianggarkan 100,000 rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal tiba di bandar sempadan selatan Rafah.

Kawasan itu sudah sesak sejak beberapa hari kebelakangan ini ekoran pertempuran semakin sengit di sekitar Deir al-Balah dan Khan Yunis.

Tentera Israel berkata, satu briged tambahan dikerah ke Khan Yunis, kampung halaman kepada pemimpin Hamas di Gaza, Yahya Sinwar.

"Misi yang dilakukan pasukan kami di Khan Yunis tidak pernah berlaku sebelum ini. Mengambil alih bilik kawalan dan menghapuskan Hamas," kata Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant.

Israel berulang kali mengatakan, salah satu matlamat utama perang adalah mengembalikan 129 tebusan yang dikatakan masih berada di Gaza.

Dalam pada itu, PBB melaporkan lebih 80 peratus daripada 2.4 juta penduduk Gaza sudah dihalau meninggalkan kediaman mereka, kini tinggal di tempat perlindungan sempit atau di khemah sementara di sekitar Rafah.

Ketua kemanusiaan PBB, Martin Griffiths dalam ciapan di media sosial menggambarkan situasi yang mustahil bagi membantu penduduk di Gaza, termasuk mana-mana pihak yang cuba membantu.

"Kamu fikir mendapatkan bantuan (masuk) ke Gaza mudah?. Sila fikirkan semula," ciapnya di X hari ini. Seorang jurucakap Hamas pula memberitahu, delegasi di Kaherah akan memberi maklum balas bagi pihak di Palestin, berhubung cadangan dikemuka Mesir baru-baru ini kepada Hamas dan satu lagi kumpulan pejuang di Gaza, Jihad Islam.

Jurucakap itu menjelaskan, Hamas akan mendapatkan jaminan untuk pengunduran tentera Israel sepenuhnya dari Gaza.

Mesir mengemukakan cadangan penubuhan pihak berkuasa Palestin baharu di Semenanjung Gaza selepas perbincangan membabitkan semua pihak di wilayah itu, yang akan bertanggungjawab mentadbir dan membina semula di Gaza selepas perang.

Ketua Perkhidmatan Maklumat Negara Mesir, Dia Rashwan berkata rancangan itu bertujuan mengumpulkan pandangan semua pihak yang berkenaan, dengan tujuan menamatkan pertumpahan darah.

Sementara itu, di Tel Aviv semalam, ratusan peserta berhimpun bagi menggesa gencatan senjata.

"Orang Israel, Palestin, Muslim, Yahudi, Kristian... ini adalah rumah kepada semua orang," kata guru, Itay Eyal, 51, sambil menjelaskan semua orang berhak untuk hidup bebas dan bermaruah. - AFP





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo