KUALA TERENGGANU - Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat mengakui berdepan laluan sukar dan perlu menempuh cabaran dalam menawan kembali hati pengundi Melayu di negeri itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau tekad mahu memastikan parti tersebut menjadi suara yang kuat dan berkesan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat di negeri itu.
"Saya sedar, cabaran yang bakal dihadapi dalam memenangi hati dan sokongan orang Melayu di Terengganu adalah tugas yang tidak mudah.
"Terengganu dengan keunikan sosial dan budayanya, memerlukan pendekatan yang bersesuaian dan inklusif untuk merangkul semua lapisan masyarakat," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Jelas Rozi, beliau akan memastikan UMNO menjadi medium suara rakyat negeri itu serta mengajak seluruh ahlinya bersatu padu demi masa depan yang lebih gemilang.
"Keutamaan saya adalah untuk memastikan UMNO Terengganu menjadi suara yang kuat dan berkesan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, khususnya dalam menghadapi isu-isu sosioekonomi yang menjadi kebimbangan utama mereka," katanya
Dalam pada itu, beliau turut merakam penghargaan atas kepercayaan diberikan untuk menerajui parti itu.
"Dengan penuh rasa hormat dan keinsafan, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas kepercayaan yang diberikan oleh presiden dan barisan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kepada saya untuk mengemudi bahtera UMNO di negeri Terengganu.
"Saya juga merakamkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Said atas sumbangan beliau kepada UMNO Terengganu," ujarnya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi surat dikeluarkan minggu lalu memaklumkan pelantikan Rozi dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi UMNO Terengganu dan Johor berkuat kuasa serta-merta.
Rozi menggantikan Ahmad Said yang juga bekas Menteri Besar Terengganu manakala Onn Hafiz mengambil alih jawatan tersebut daripada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Berdasarkan surat berkenaan, Ahmad Zahid berkata, pelantikan Rozi dan Onn Hafiz dibuat selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO.
Sementara itu, Ahmad dalam kenyataan pada Khamis lalu memaklumkan bahawa beliau memutuskan untuk berundur untuk memberi laluan supaya UMNO Terengganu diterajui generasi muda.
Katanya, beliau turut mencadangkan nama Rozi bagi mengambil alih tempatnya sekali gus menyuntik semangat baharu dalam parti tersebut.
Sumber I Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment