NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP tetap DAP: Umno mula terasa bahang



KUALA LUMPUR: “PAS dan DAP cukup tegas mempertahankan ideologi perjuangan masing-masing tentang visi kedua-dua parti tentang Malaysia.”

Itu kata bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan yang tersiar dalam Podcast Keluar Sekejap pada minggu lalu.

Susulan itu, Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil terpanggil untuk memperkatakan mengenai perkara itu.

Menurutnya, PAS dilihat meletakkan Islam dan Politik Islam sebagai pasak perjuangan yang hendak dibuat manakala DAP memperjuangkan negara Sekular, Malaysian Malaysia dan yang sewaktu dengannya.

“Itulah realiti yang kita perlu terima. PAS konsisten dengan dasarnya dan DAP juga kekal dengan perjuangannya. 

“PAS kuat dengan dasar Islamnya dan tujuan PAS adalah untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah SWT. 

“Keduanya, PAS mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara (boleh rujuk dalam Perlembagaan PAS).

“Bagaimana DAP? Walaupun tidak tercatat dalam Perlembagaan parti mereka tetapi kita tahu bahawa DAP dan perjuangan Malaysian Malaysia tak dapat nak dipisahkan,” katanya dalam suatu kenyataan. 

Dalam pada itu, katanya, veteran DAP, Lim Kit Siang pula telah sekali lagi membayangkan bahawa Perdana Menteri bukan semestinya dalam  kalangan orang Melayu.

“Itu memang konsisten sejak berzaman, cuma sama ada nak sebut atau tidak, bergantung dengan keadaan semasa, bergantung dengan siapa dia sedang berkawan.

“PAS dan DAP pernah berkawan dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR). DAP pernah keluar dari BA sebab tak boleh menerima perjuangan PAS khususnya dalam usaha menegakkan sebuah pemerintahan Islam yang mereka lihat akan merencatkan perjuangan mereka,” kongsi beliau.

Sehubungan itu, katanya, PAS juga pernah dipisahkan dari perjuangan dalam gabungan PR dengan pengisytiharan oleh Lim Guan Eng bahawa PR telah terbubar. 

Selepas itu, tambah beliau, lalu diwujudkan Pakatan Harapan yang menggabungkan kumpulan bekas ahli PAS dalam Parti Amanah Negara (PAN). 

“DAP bukan tidak boleh menerima PAS tetapi hanya boleh terima mereka yang sebahagian dalam PAS. Sebab itu, DAP bersama dengan perjuangan PAN sebab orang yang DAP percaya sudah tidak mendapat sokongan daripada sebahagian besar daripada ahli PAS.

“DAP melihat PAN akan membantu mereka mencapai hasrat apa yang mereka perjuangkan selama ini. PAN sanggup untuk menjadi benteng DAP kerana kepimpinan PAN mengharap sokongan pengundi bukan Melayu akan memberikan mereka peluang untuk mudah menang dalam Pilihan Raya,” jelasnya lagi.

Sementelah katanya, PAS telah menjelaskan pengalaman perit ketika bergabung dengan DAP ketika bersama Umno di dalam Muafakat Nasional (MN).

“Umno bukannya tidak tahu siapa DAP tetapi kerana pemimpin Umno lebih ‘takut’ untuk membentuk kerajaan bersama PAS maka mereka rela memilih gabungan dengan DAP untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Mungkin ‘ijtihad’ pemimpin Umno pada masa itu, lebih baik tubuh kerajaan dengan DAP walaupun mereka semenangnya tahu perjuangan DAP dan matlamat perjuangan DAP,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, lebih memeranjatkan, pemimpin Umno termasuklah Presidennya cukup kuat mempertahankan hujah mereka bahawa DAP sudah berubah bagi meyakinkan ahli-ahli Umno yang berada di peringkat bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan.

“Sehinggakan ada dalam kalangan pemimpin Umno yang sanggup menjadi ‘benteng’ mempertahankan DAP termasuklah dengan meminta ahli Umno mesti mengundi DAP dan kenyataan ini menerima ucapan terima kasih daripada pimpinan DAP,” tegasnya.

Tambah beliau, kini, Umno sudah mula terasa bahang dek kerana terlalu yakin bahawa kononya DAP telah berubah. 

Khairul Faizi menyatakan bahawa kenyataan Kit Siang bahawa Perdana Menteri boleh dilantik daripada kalangan bukan orang Melayu telah membuka mata sebahagian daripada pemimpin Umno khususnya golongan muda.

“Percayalah, apa yang DAP lakukan ketika ini adalah sebahagian kecil dari apa yang mereka ingin capai dalam perjuangan mereka.

“Justeru, Umno masih lagi belum terlambat untuk membuat keputusan yang lebih wajar demi masa hadapan agama, bangsa dan negara,” katanya.  HARAKAHDAILY 20/12/2023




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo