Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas diumumkan menang PRK Parlimen Kemaman malam tadi. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas diumumkan menang PRK Parlimen Kemaman malam tadi. - Foto NSTP/Ghazali Kori

CHUKAI: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri tidak pernah meletakkan sasaran menjadi Perdana Menteri apabila menyertai bidang politik.

Ahmad Samsuri yang menang kerusi Parlimen Kemaman menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) itu berkata, perkara itu juga tidak pernah terlintas di fikirannya.

Bagaimanapun, Naib Presiden PAS itu sedia mempertimbangkan perkara itu sekiranya diberi amanah oleh parti dan rakyat.

"Saya rasa saya sudah jawab beberapa kali soalan itu termasuklah bila saya buat penggulungan di sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) tidak menjadi sasaran atau objektif saya untuk menyertai politik ini untuk menjawat jawatan yang sebegitu tinggi.

"Walaupun begitu sekiranya pada satu masa nanti yang akan datang (apabila) diberi amanah oleh parti dan juga rakyat, saya akan pertimbangkan perkara itulah," katanya malam tadi.

Ahmad Samsuri menang pada PRK Parlimen Kemaman selepas memperoleh 64,998 undi iaitu dengan majoriti 37,220 undi. Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang memperoleh 27,778.

Ahmad Samsuri sebelum ini pernah disebut-sebut sebagai bakal calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) apabila dicalonkan dalam PRK Parlimen.

Beberapa pimpinan politik termasuk dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berpandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu berkelayakan memegang jawatan itu.


Sumber | Bharian