Hasil siasatan akan menentukan sama ada bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-KOM) Datuk Mohammad Agus akan ditangkap atau sebaliknya, kata pihak polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata sebarang langkah seterusnya dalam kontroversi melibatkan Agus dengan pegawai bawahan, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani bergantung kepada siasatan yang sedang dijalankan ketika ini.
“PDRM akan memanggil siapa saja yang boleh membantu siasatan. Keputusan samada ada tangkapan akan dibuat terhadap Datuk Dr Agus atau tidak bergantung kepada siasatan.
“Pada peringkat ini pihak polis masih lagi menjalankan siasatan untuk mendapatkan bukti-bukti yang material kepada keterangan dan dakwaan yang dibuat” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Jelasnya, polis masih menjalankan siasatan membabitkan Agus dan Wahab.
Tambahnya, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada Jumaat lalu, dan sejak itu, beberapa arahan telah diberikan bagi melengkapkan siasatan.
Polis menjangkakan untuk menyerahkan semula kertas itu sejurus selepas mereka melengkapkan arahan, termasuk mendapatkan laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Minggu lalu, Wahab, 33, yang menjadi tumpuan kontroversi berhubung rakaman video tular itu mendakwa bahawa dia diganggu secara seksual oleh Agus.
Dakwaan terbaru itu tidak dikongsi oleh Wahab pada 17 November lalu ketika sidang media bersama Agus untuk menjelaskan mengenai kandungan video tersebut.
Video itu memaparkan dua lelaki terlibat dalam perbualan lucah, tetapi Wahab semasa sidang media tersebut mendakwa bahawa video asal yang dirakamnya tidak mempunyai audio.
Pada sidang media itu, Wahab mendakwa dia dijadikan kambing hitam bagi memerangkap bekas orang atasannya itu untuk tujuan tertentu.
Walau bagaimanapun, minggu lalu, Wahab hadir bersama peguamnya Faizal Abd Rahman, ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dan membuat laporan polis. Katanya, tindakan itu bagi membersihkan namanya dalam isu rakaman video perbualan lucah.
Susulan itu, Razarudin dilapor mengesahkan polis telah membuka siasatan berasingan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana keterlaluan dan Seksyen 377D bagi kesalahan melakukan perbuatan tidak senonoh.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment