Bahasa dan adat
Di Melaka dan sesetengah kawasan di Perlis dan Kedah, panggilan anak haram adalah gurauan yang diterima sesama mereka. Cubalah bertandang ke Terengganu dan buat gurauan mesra sebegitu, anda akan lihat hasilnya.
Perkataan kopek, tidak boleh disebut sewenang-wenangnya di Terengganu, Kelantan dan sebahagian Pahang terutama kepada perempuan kerana boleh menyebabkan mulut si penyebut itu terkopek. Tetapi amat difahami maknanya di luar kawasan yang disebutkan itu.
Pantat biasa sahaja disebut di Terengganu dan Kelantan, menerangkan kawasan paling bawah. Tetapi awas, anda mungkin boleh dimasukkan ke wad jika menyebutnya di luar dua negeri ini.
Ada tempat, burit bermaksud punggung. Jadi jangan terkejut jika seseorang menegur burit seorang lelaki lain di tempat itu, sebab sememangnya lelaki dan perempuan di sana, semuanya ada burit, samada dia melakukan pembedahan transgender atau tidak.
Panggilan natang pernah menjadi penyebab kepada perkelahian antara kawan saya yang berasal dari Melaka dan Terengganu. Yang Melaka merasakan natang adalah panggilan makian dan hinaan kepadanya, manakala yang Terengganu pula cuba bergurau. Tetapi bagi si Melaka itu, sial, lahanat, babi itu gurauan yang menyeronokkan.
Gurau bewok (biawak) kata orang Terengganu. Mesti anda yang bukan dari Terengganu tidak merasa lawak dengan perkataan gurau biawak itu, sebab anda bukan orang Terengganu untuk memahami dan merasakannya. Orang Terengganu dan Kelantan, boleh tersenyum.
Orang asal sangat biasa bila berbahasa dengan ahli keluarga mereka yang lebih tua membahasakan diri aku, engkau. Di Hulu Terengganu juga tidaklah menjadi kehairanan jika ganti nama itu digunakan. Sebaliknya, ia kelihatan amat kurang ajar jika digunakan di kawasan bandar.
Jadi apa kepelikannya jika ada bahasa yang agak kasar digunakan dalam kuliah agama jika boleh menyedarkan orang yang sedang dalam kegelapan? Mahu membetulkan adat yang telah diterima di kawasan itu, bukanlah sesuatu yang mesti.
U'ruf setempat berbahasa setempat selagi tidak haram, tidaklah salah digunakan. Dan sekarang ini semua dialek di semua negeri sudah difahami oleh sebahagian besar orang. Dan mereka yang mahu ke kuliah itu juga sudah faham perangai si penyampainya. Bermakna mereka pergi kerana tidak rasa dimaki, tetapi rasa ada kebaikan yang akan mereka perolehi. Jadi dimana masalahnya?
Teringat dahulu ada sebuah kitab yang menggunakan bahasa yang betul dan baik, telah menyebabkan salah faham dalam hukum agama. Tulis kitab itu lebih kurangnya begini:
"Apabila seseorang itu sudah lama mengerjakan solat, maka tidaklah payah lagi bagi dia bersolat"
Tidak payah di sini dimaksudkan penulis senang atau mudah untuk dilakukan kerana sudah sentiasa melakukannya. Tetapi yang difahami segelintir orang lain pula ialah tidak payah itu bermaksud tidak perlu solat lagi. Dicampur dengan perangai malas solat, kenalah dia dengan maksudnya itu.
Apabila dibaca oleh orang yang bukan ahlinya, maka akan terjadilah salah faham. Hendaklah di huraikan oleh yang faham dengan bahasa kitab itu. Jadi apabila orang yang sudah memahami bahasa setempat menerangkan maksud perkataan-perkataan yang digunakan, kenapa harus ada yang marah dan disuruh menukar kepada bahasa yang memarahi itu?
Tak salah belajar maksud dialek orang lain. Dan kalau ia tidak ubah, sebab ini adalah budaya dan kefahaman mereka dan sekali lagi diingatkan ia tidak haram apabila konteksnya sudah difahami.
Ibarat melihat cermin di dinding yang senget. Adakah kita perlu menelengkan kepala semata-mata mahu melihat wajah kita menurut cermin itu atau kita hanya perlu betulkan cermin itu dan kita tidak perlu menyenggengkan kepala kita?
Cuba kita lihat mungkin ada sesuatu yang cuba mengheret kita keluar dari isu entah apa-apa kerana isu bahasa ini tidak ada keperluan untuk di perdebatan selagi ia difahami. Mereka akan guna semua benda untuk mengalihkan isu.
Isu asal kehangatan ini ialah kisah al-Kahfi ada dalam Bible tidak ditegurnya, tetapi melalut sehingga kepada perkara yang bukan utama, diheret keluar. Mungkin untuk kepentingan seseorang supaya tidak kelihatan jahil. Yang terang haram, tidak sebutkan. Tak ke pelik tu?
Malam ini jangan lupa. Yang takut dengar bahasa kasar, pakai ear plug kat telinga atau tukar channel lain. Apa payahnya?
Mohd Nasir Abdullah
29 Disember 2023
No comments
Post a Comment