KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan berharap tidak ada pihak menjadikan isu seorang pempengaruh media sosial (influencer), Zhiddin Aziz sebagai perkara sensasi.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, jika terdapat kelemahan dalam sesi penganjuran Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan 2023, ia seharusnya dirungkai menerusi pertemuan yang lebih bersifat matang.
“Dalam isu ini juga, kita telah keluarkan kenyataan media selepas penularan isu tersebut.
“Saya harap kepada mana-mana pihak yang anggap ini sebagai satu bentuk penganiayaan, itu bukan menjadi tujuan atau matlamat APBN kali ini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang terkejut kerana isu terbabit diheret dalam Dewan Rakyat bagaimanapun mengakui akan mengadakan pertemuan dengan pempengaruh tersebut hari ini.
“Di bangunan Parlimen hari ini, akan ada pertemuan antara saya bersama yang disebutkan itu.
“Kalau saya nak jemput Masjid Tanah pun tak ada masalah, Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) sekalipun nak datang boleh kerana semalam beliau bangkitkan perkara ini. Nak selfie dan buat video pun tak ada masalah,” katanya.
Dalam pada itu, Adam Adli menjelaskan mengenai kategori yang telah digugurkan daripada APBN tahun ini.
“Jawatankuasa pemenang telah putuskan tiada pemenang untuk dua kategori iaitu Ikon Belia Influencer dan Ikon Belia Sanjungan budi. Ini adalah keputusan muktamad.
“Tak ada calon yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.
“Kita juga tidak pernah keluarkan sebarang surat pemakluman kepada mana-mana individu tertentu sebagai pemenang.
“Jadi kita pun tertanya-tanya, bagaimana dia anggap dia pemenang dan sebagainya,” jelasnya.
Katanya, dengan pertemuan yang akan diadakan hari ini, diharapkan dapat merungkai segala permasalah dan selesai dengan cara yang baik.
“Ia adalah untuk mengiktiraf golongan-golongan belia yang telah mencapai satu kejayaan yang sangat besar.
“Malang bagi kita dalam APBN kali ini ada lebih 12 penerima anugerah termasuk mereka yang telah memenangi pingat emas dalam Sukan Asia tidak diberi perhatian kerana terbawa-bawa oleh sensasi yang sedang berlaku terhadap satu dua individu.
“Perkara ini seharusnya dipandang juga oleh masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Zhiddin Aziz meluahkan kekecewaannya apabila APBN menafikan kemenangannya pada saat akhir.
Menerusi satu hantaran video di TikTok miliknya, anak kepada Allahyarham Aziz Desa ini mengakui menerima panggilan telefon daripada penganjur sehari sebelum majlis berlangsung.
Terkesan dengan perkara itu, Zhiddin menemui Adam Adli serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh namun tiada jawapan diberikan.
Zhiddin sebelum ini terkenal dengan perkongsian di media sosial kerana sering memartabatkan Bahasa Melayu dan diangkat sebagai ikon sekolah, remaja dalam membawa bahasa kebangsaan terus hebat di mata dunia. – MalaysiaGazatte
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment