Surat MAIM mengenai pemakluman kebenaran ADUN bukan Islam dibenar cadang jawatankuasa kariah masjid dan surau sesi 2024-2026.
Surat MAIM mengenai pemakluman kebenaran ADUN bukan Islam dibenar cadang jawatankuasa kariah masjid dan surau sesi 2024-2026.

MELAKA: Perikatan Nasional (PN) selaku pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kesal dan mempersoalkan keputusan kerajaan negeri membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan Islam, terbabit dalam mencadangkan pelantikan jawatankuasa kariah masjid dan surau di negeri ini bagi sesi 2024-2026.

Ketua Pembangkang, Dr Yadzil Yaakub, menyifatkan tindakan kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu adalah campur tangan politik dalam urusan pentadbiran masjid dan surau serta cubaan membenarkan orang bukan Islam campur tangan dalam urusan agama Islam.

"Kenapa bila berkaitan masjid dan surau kita izinkan agama lain mengatur apa yang ekslusif kepada umat Islam?" katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga ADUN Bemban turut berkongsi surat didakwa dikeluarkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bertarikh 25 Oktober dan mempersoal kewajaran pekeliling itu.

Surat itu memaklumkan ADUN bukan Islam boleh mencadangkan senarai jawatankuasa dengan sokongan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) beragama Islam.

Sementara bagi kawasan ADUN pembangkang iaitu DUN Bemban dan DUN Sungai Udang, penyelaras Japerun bertanggungjawab terhadap cadangan itu.

Mengulas lanjut, Dr Yadzil yang juga Pengerusi PN Melaka, menegaskan masjid dan surau adalah tempat terbaik penyatuan ummah kerana semua umat Islam tanpa mengira darjat, bangsa, taraf pendidikan, umur, mahupun fahaman politik berkumpul dengan satu tujuan untuk beribadat kepada Allah SWT.

"Islam menggalakkan kita berkawan dengan orang bukan Islam tapi bukanlah sehingga menggadaikan kepentingan kepada bangsa atau agama lain.

"Inikah normalisasi kerajaan hari ini yang hasilnya perlu diterima rakyat dan umat Islam selepas UMNO berdakapan dengan DAP?

"Ingat, sarang tebuan usah dijolok. Padah akibatnya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berpandangan wujud kekeliruan dalam memahami kaedah pelaksanaan perlantikan jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini sehingga dikaitkan pemimpin bukan Islam dalam menentukan keputusan itu.

Tegas beliau, perkara berkenaan tidak seharusnya dipolemik dan dijadikan mainan politik.

"Urusan umat Islam adalah hak mereka dan orang bukan Islam tidak boleh masuk campur urusan itu.

"Begitu juga kami tak ikut campur urusan lain lain agama dan sebagai orang Islam saya juga takkan benarkan sama sekali perkara ini berlaku dan ini sangat jelas," katanya mengulas kenyataan ADUN Bemban itu.