NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiga komponen Kedah Aerotropolis lulus untuk pembangunan

Muhammad Sanusi (empat, kiri) bertukar dokumen dengan Vincent (tiga, kanan) selepas menandatangani perjanjian penubuhan SPV antara PKNK dengan Tahira Air Sdn Bhd bagi membangunkan Kedah Aerotropolis.



SEBAHAGIAN daripada projek mega, Kedah Aerotropolis telah diberikan kelulusan bagi membangunkan tiga komponen dalam fasa pertama.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan Persekutuan telah memberi kelulusan kepada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk memulakan pusat Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO), Sidam Logistics, Aerospace dan Manufacturing Hub (SLAM) dan taman perindustrian dan perniagaan.

Menurutnya, pembinaan untuk Airport City atau terminal lapangan terbang masih dalam pengurusan membabitkan aspek teknikal.

“Saya berharap dalam tempoh singkat dapat realisasikan semua butiran yang dipersetujui untuk bangunkan keseluruhan Kedah Aerotropolis.

"Saya akan pastikan projek berimpak tinggi ini menjadi kenyataan kerana pembangunan zon ekonomi baharu ini bakal menjadi ‘economic game changer’ untuk Kedah,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani penubuhan Syarikat Bertujuan Khas (SPV) antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan Tahira Air Sdn Bhd bagi membangunkan Kedah Aerotropolis, di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Perjanjian tersebut ditandatangani Muhammad Sanusi merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KXP AirportCity Holdings dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tahira Group/Pengarah Urusan Tahira Air Sdn Bhd, Vincent Tan Kee Kim.

Perjanjian ini akan membolehkan pembangunan Kedah Aerotropolis diteruskan seperti dirancang di bawah SPV, yang dinamakan Kedah Aerotropolis Holdings.

Sanusi memaklumkan, projek berkenaan dijangka merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah sebanyak 4.5 peratus, selain menawarkan 24,000 peluang kerja.

“Ia merupakan sebuah kawasan baharu ekonomi dan industri serta jaringan pengangkutan dan perhubungan bagi wilayah Utara untuk manfaat Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak,” ujarnya.

Menurutnya lagi, penyediaan Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) seperti yang diminta oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) juga sedang dilakukan.

“Ada lapan nasihat yang disebut dalam NASP oleh Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) sebelum ini, kita sudah bekalkan data tersebut selain melakukan kajian sendiri menerusi konsultan dilantik. Dapatan menunjukkan tiada sebab projek ini tidak diluluskan,” jelasnya.

Sanusi berkata, projek berkenaan boleh dimulakan sejurus urusan pengambilan tanah selesai dilakukan.

“Kedah Aerotropolis Holdings adalah pengganti SPV sebelum ini yang dibatalkan atas kegagalan mendepositkan 125 peratus anggaran kos pengambilan balik tanah.

“Dalam tempoh 90 hari dari tarikh perjanjian dimeterai, SPV perlu depositkan RM2.5 bilion (125 peratus) untuk kita mulakan proses pengambilan balik tanah untuk digazet bawah Seksyen 8 Akta pengambilan balik tanah 1960,” jelasnya.

Menurutnya, pelabur kali ini lebih diyakini untuk menjayakan projek tersebut kerana memiliki kewangan yang kukuh.

“Saya yakin kegagalan lalu tak akan berulang yang menyebabkan kelewatan projek. Ini kerana keupayaan kewangan syarikat ini telah dibuktikan kukuh, ada proof of fund untuk depositkan RM2.5 bilion seperti perjanjian,” katanya.

Sementara Ketua Pegawai Eksekutif, KXP AirportCity Holdings, Nur Salman Saad berkata, unjuran kargo yang dibentangkan memberangsangkan kerana adanya penglibatan pemain industri baharu dari negara Eropah.

“Kedah Aerotropolis akan menjadi rangkaian baharu pusat pengagihan bertaraf dunia seperti Memphis Amerika Syarikat. Ia bakal mengubah landskap wilayah Utara dalam merealisasikan Greater Kedah.

“Ini merupakan model perniagaan baharu yang menggabungkan pengangkutan kargo udara, MRO, SLAM serta industri perniagaan,” jelasnya.


Sumber I Sinar Harian 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo