PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan sudah mendapat kebenaran Putrajaya untuk membangunkan unsur nadir bumi (REE) yang dianggarkan bernilai RM1.2 bilion di negeri itu, kata Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan.
Bagaimanapun beliau berkata pihaknya masih memerlukan kebenaran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) walaupun sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) perlombongan bahan mineral berkenaan.
Katanya kerajaan negeri akan berusaha mempercepatkan proses itu, walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Hal ini bagi memastikan ia selari dengan ketetapan dibuat oleh kerajaan persekutuan,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan ketika menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (Galas-BN) mengenai strategi kerajaan negeri dalam perlombongan REE.
Fadzli berkata, sebagai permulaan, Kelantan akan bekerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri dalam membangunkan REE yang nilainya dianggarkan mencecah RM1.2 bilion.
Ketika ini, katanya kerajaan negeri bergantung sepenuhnya kepada syarikat dari China mengendalikan perkara itu.
“Kita akan memastikan perkara ini dapat dimanfaatkan untuk rakyat Kelantan tanpa perlu melibatkan pihak ketiga.
“Kita juga akan mengambil warga tempatan untuk melatih mereka menjadi pekerja mahir dalam pengeluaran REE.”
Sumber | FMT
No comments
Post a Comment