PETALING JAYA: PAS yakin mampu menang PRK Kemaman dengan majoriti lebih 30,000 undi, kata pengarah pilihan raya parti itu Sanusi Nor.
“Pilihan raya ini tidak perlu diadakan sebenarnya tetapi oleh kerana Umno ini gila, mereka buat petisyen juga walaupun sedar akan kalah.
“Elok-elok kalah majoriti 27,000 pada pilihan raya umum (PRU15), PRK ini kita pastikan Umno dan Pakatan Harapan kalah 30,000 di Kemaman,” katanya dalam majlis pelancaran jentera pilihan raya PAS di Kemaman.
Bagaimanapun, Sanusi mengakui pengundi mungkin bosan dengan pilihan raya kerana dalam tempoh setahun sahaja pengundi di Kemaman akan mengundi untuk kali ketiga.
“Bagaimanapun, kita kena tunai tanggungjawab dan pulang mengundi dalam pilihan raya nanti,” katanya.
Pengundi di Kemaman mengundi dalam PRU15 pada November tahun lalu dan mengundi sekali lagi dalam PRN Terengganu pada Ogos lalu.
Sementara itu, Sanusi juga menggesa pengundi memberi mesej jelas kepada kerajaan perpaduan dalam PRK kali ini, supaya negara mempunyai masa depan yang lebih baik.
“Maka kita perlu tamatkan riwayat politik mereka di Kemaman ini,” kata Sanusi yang juga menteri besar Kedah.
PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lalu membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) setelah pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil berjaya membuktikan berlakunya perbuatan rasuah bagi mempengaruhi pengundi.
Pada PRU15 calon PN Che Alias Hamid menang di Kemaman dengan majoriti 27,179 apabila memperoleh 65,714 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Ahmad Said (38,535 undi), calon Pakatan Harapan, Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).
PRK Kemaman ditetapkan pada 2 Dis ini, dengan pengundian awal pada 28 Nov dan penamaan calon pada 18 Nov.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment