NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perundangan Syariah: Patut makin perkasa, bukan dicabar gugat




KUALA LUMPUR: Perundangan Syariah sewajarnya berada pada kedudukan kukuh dan mantap pada ketika ini selari dengan kemerdekaan negara yang sudah berusia 66 tahun dan martabat Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, usaha mengisi dan memperkasakan peranan perundangan Syariah sepatutnya perlu terus diperteguhkan dengan menjadikannya semakin baik dari hari ke hari.

Tegas beliau, kewujudan kelemahan pada aspek pentadbiran seharusnya diperbaiki lagi dan bukan menjadi alasan untuk ia dicabar, apatah lagi meruntuhkan strukturnya yang telah terbina sejak sekian lama.

“Ini bukan soal politik, ini adalah hak kita bersama sebagai orang Islam yang cintakan agama. Umat Islam bersatu untuk pastikan kuasa Mahkamah Syariah tidak diganggu gugat oleh apa dan sesiapapun. 

“Kita patut hairan kenapa apabila kuasa politik berada kuat di tangan orang Melayu, tidak timbul isu ke atas perundangan dan Mahkamah Syariah. Tetapi bila kuasa politik orang Melayu-Islam kurang, berlaku tindakan mencabar dan menggugatnya.

“Bukan bererti apabila kita bercakap mengenai pemerkasaan Syariah, kita hendak menindas dan menafikan hak-hak orang bukan Islam yang berada di negara ini. Bidang kuasa Mahkamah Syariah masih lagi amat terhad ketika ini. 

“Jadi, ia tidak perlu diganggu, tetapi sepatutnya diperkasakan lagi dan bukan ganggu. apatah lagi tindakan mereka yang mencabar untuk melihat Mahkamah Syariah ini tidak ada kuasa perundangan jenayah Syariah. 

“Ini tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi oleh orang yang mengaku beragama Islam atau orang Melayu yang sinonimnya dengan Islam,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, hari ini.

Beliau turut menyeru umat Islam negara ini bersama mempertahankan perundangan Syariah dan menyokong usaha memperkasakan Mahkamah Syariah di negara ini dari diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Justeru itu, bekas Menteri Agama ini mengajak umat Islam hadir menyertai solidariti aman Himpunan Pertahan Syariah yang akan dilangsungkan di Istana Kehakiman Putrajaya pada Isnin, 20 November ini jam 9:00 pagi.

Himpunan ini juga sempena penghakiman keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap tindakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid  mencabar keabsahan 20 peruntukan di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2019 Kelantan.

Tindakan wanita itu bersama anaknya,Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, dilihat berisiko mengulangi kes Iki Putra Mubarak yang menang ke atas kes mencabar Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Dalam kes tersebut, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa negeri tiada lagi kuasa menggubal mana-mana undang-undang yang mempunyai unsur jenayah termasuk jenayah Syariah. – HARAKAHDAILY18/11/2023 


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo