NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Perbandingan ringgit-dolar AS bukan ukuran tentukan keadaan ekonomi'



KUALA LUMPUR - Perbandingan ringgit-dolar AS tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran dalam menentukan keadaan ekonomi, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak menentukan keadaan ekonomi negara hanya berdasarkan ukuran tersebut kerana masih terdapat beberapa ukuran lain yang harus diberi perhatian.

Antaranya adalah pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjurkan pada 4-5 peratus tahun depan, unjuran defisit fiskal 4.3 peratus berbanding sasaran 5 peratus tahun ini, kadar inflasi yang semakin menurun pada 1.9 peratus, Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dikekalkan pada 3 peratus dan kadar pengangguran rendah pada 3.4 peratus, kata Ahmad.

"Inilah ukuran sebenarnya.

"Selain itu pelaburan yang telah diumum separuh tahun ini begitu besar jumlahnya, jadi angka-angka itu menunjukkan ekonomi kita berada di landasan yang kukuh dan ekonomi kita berada pada landasan yang menunjukkan asasnya kukuh.

"Itulah angka ukuran ekonomi dan tidak adil hanya merujuk kepada (perbandingan) dolar AS dengan ringgit sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah ‘Islamic Distinguished Entrepreneur’ (IDEA Award 2023) anjuran Dewan Perniagaan Muslim Insiders malam tadi.

Sementara itu, Presiden Muslim Insiders, Profesor Adam Richman berkata, anugerah IDEA Award 2023 itu diadakan bertujuan untuk mengiktiraf usaha cemerlang dan memberi penghargaan kepada usahawan Muslim yang telah mencapai tahap keunggulan luar biasa dalam pelbagai sektor ekonomi serta juga kepada pemilik perniagaan bukan Islam yang mengamalkan ciri-ciri perniagaan mesra Islam di negara ini.

"Kami percaya bahawa usaha-usaha ini tidak hanya memberi manfaat kepada perniagaan mereka, tetapi juga kepada masyarakat dan ekonomi negara.

"Anugerah ini adalah satu langkah penting untuk menyokong pertumbuhan perniagaan komuniti Muslim yang cemerlang dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berasingan, ringgit dijangka mengukuh lagi minggu depan di antara RM4.72 dan RM4.73 berbanding dolar AS, kata Ketua Ekonomi dan Kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata, ringgit mengalami pemulihan selanjutnya berbanding dolar AS pada Jumaat dan sepanjang minggu ini, dengan bank-bank pusat utama dilihat mengekalkan kadar faedah mereka tanpa sebarang perubahan, menandakan kitaran kenaikan kadar faedah mungkin telah mengalami kemuncaknya.

"Persoalan seterusnya ialah berapa lama kadar faedah semasa akan bertahan dan bilakah bank pusat akan mula melonggarkan dasar monetari.

"Jadi ini akan berdasarkan kepada data baharu sebelum sebarang perubahan berlaku.

Ringgit juga berada dalam kedudukan terlebih jual untuk beberapa ketika,” katanya kepada Bernama.

Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis mengumumkan yang ia telah mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tiga peratus, menandakan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memilih untuk menahan kenaikan kadar faedah, walaupun ada desakan untuk menaikkan kadar faedah bagi membantu menstabilkan ringgit, yang menghampiri paras terendah 25 tahun berbanding dolar AS.

Kenaikan kadar terakhir adalah pada Mei, apabila bank pusat meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus.

Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, beliau menjangkakan kenaikan ringgit akan berlanjutan sebagai respons kepada terhentinya kitaran kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) secara kompromi tetapi kenaikan juga boleh dihadkan oleh kebimbangan terhadap ekonomi domestik dan Eropah.

"Jadi saya menjangkakan ringgit pada 4.7150 hingga 4.7350 dengan cenderung untuk mengukuh disebabkan tindakan yang diambil oleh Fed,” katanya.

Sementara itu, bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.7265/7320 daripada 4.7750/7800 seminggu sebelumnya selepas BNM mengekalkan yang OPR tidak berubah dalam mesyuarat MPC terakhirnya tahun ini.

Unit tempatan itu juga telah meningkat berbanding kebanyakan mata wang utama. Ia meningkat berbanding euro kepada 5.0318/0377 daripada 5.0438/0491 seminggu yang lalu, naik berbanding yen Jepun kepada 3.1445/1484 daripada 3.1827/1862 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7734/7801 daripada 5.7945/8005 pada minggu sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean, kecuali berbanding dolar Singapura, iaitu meningkat kepada 3.4713/4756 daripada 3.4867/4906.​

Unit tempatan itu susut berbanding rupiah Indonesia kepada 300.5/300.9 daripada 299.5/300.0 minggu lalu, jatuh berbanding peso Filipina kepada 8.42/8.44 daripada 8.38/8.39 dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.2332/2553 daripada 13.1808/2008. - Bernama






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo