KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bimbang rejim Zionis Israel akan meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza selepas tempoh gencatan senjata berakhir.
Menurut beliau, rejim Zionis Israel kini membenarkan gencatan senjata dikuatkuasakan empat jam sehari bagi membolehkan orang awam berpindah ke tempat selamat.
“Namun, sebaik sahaja gencatan senjata berakhir, pembunuhan diteruskan dan orang awam yang bukan pejuang pembebasan dibunuh beramai-ramai, dibom dan diletupkan sehingga hancur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Mahathir turut mempersoalkan sikap negara-negara bertamadun yang hanya berpeluk tubuh terhadap segala keganasan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel di Gaza.
Malah, beliau memberitahu, mereka memberi sokongan moral dan material seperti senjata, risikan dan dana kepada Israel.
“Manusia jenis apakah mereka ini?” soalnya.
Dr Mahathir menegaskan, negara-negara bertamadun sepatutnya melakukan langkah yang betul dengan memberi tekanan terhadap rejim Zionis Israel untuk menghentikan keganasan di Gaza.
“Negara-negara bertamadun telah mencapai kejayaan-kejayaan besar termasuk menghantar manusia ke bulan.
“Namun, mereka gagal menghentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dan anak-anak mereka,” jelasnya.
Dr Mahathir turut menempelak pihak yang berjuang untuk hak haiwan tetapi pada masa yang sama membiarkan sahaja rakyat Palestin didera, diseksa dan dibunuh selama lebih 70 tahun.
“Kita juga bimbang tentang isu kemiskinan dan gelandangan tetapi kita melihat sahaja rumah rakyat Palestin dirobohkan, penduduk diusir dari kampung dan rumah-rumah diratakan bersama penghuninya sekali,” katanya.
Beliau menyifatkan konflik di Gaza telah melanggar segala batasan perikemanusiaan, moral dan nilai di mana sifat angkuh, keji, kejam dan tidak bertamadun dipertontonkan oleh rejim Zionis untuk tatapan dunia. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment