NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pas media Harakah ditarik tanpa notis amaran, CIJ persoal ketelusan kerajaan

Foto: Kenyataan Akhbar dari Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).


  • Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mempersoalkan etika laporan dan tindakan Jabatan Penerangan (Japen) untuk menarik semula pas media Harakah dan Harakah Daily yang merupakan lidah rasmi kepada parti PAS.
  • Pengarah eksekutifnya, Wathshlah G Naidu berkata tiada ketelusan didapati dalam proses keputusan itu dibuat susulan pihaknya difahamkan Japen mengambil keputusan untuk menarik semula pas media itu tanpa sebarang notis amaran diberikan.
  • Beliau berkata tidak jelas sama ada kumpulan media Harakah diberikan peluang untuk membentangkan kes mereka; mengambil tindakan pembetulan seperti menurunkan kandungan yang dipersoalkan; atau bagaimana mereka boleh mendapatkan hak mereka untuk merayu keputusan ini.
  • “Kenyataan samar jabatan (Japen) bahawa penerbitan itu telah “melanggar etika kewartawanan Malaysia” tidak memenuhi standard yang boleh diterima menerusi proses keadilan,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.
  • Pada Selasa, media melaporkan Japen mendapati terdapat artikel berita diterbitkan portal Harakah Daily bertarikh 6 November lalu, bertajuk ‘Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin’ yang melanggar etika kewartawanan Malaysia iaitu tuduhan tidak berasas.

KUALA LUMPUR — Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mempersoalkan etika laporan dan tindakan Jabatan Penerangan (Japen) untuk menarik semula pas media Harakah dan Harakah Daily yang merupakan lidah rasmi kepada parti PAS.

Pengarah eksekutifnya, Wathshlah G Naidu berkata tiada ketelusan didapati dalam proses keputusan itu dibuat susulan pihaknya difahamkan Japen mengambil keputusan untuk menarik semula pas media itu tanpa sebarang notis amaran diberikan.

Beliau berkata tidak jelas sama ada kumpulan media Harakah diberikan peluang untuk membentangkan kes mereka; mengambil tindakan pembetulan seperti menurunkan kandungan yang dipersoalkan; atau bagaimana mereka boleh mendapatkan hak mereka untuk merayu keputusan ini.

“Adalah didapati tiada ketelusan terhadap proses bagaimana keputusan ini dibuat. Difahamkan Jabatan Penerangan telah mengambil keputusan untuk menarik semula pas media tanpa sebarang notis amaran diberikan,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.

Wathshlah G Naidu berkata kebimbangan CIJ diperkuatkan lagi dengan kegagalan Japen memberikan sebab yang jelas dan khusus terhadap keputusan mereka. 

“Kenyataan samar jabatan (Japen) bahawa penerbitan itu telah “melanggar etika kewartawanan Malaysia” tidak memenuhi standard yang boleh diterima menerusi proses keadilan. 

“Kerajaan harus menegakkan standard antarabangsa mengenai kesahihan (legitimacy), keperluan (necessity), dan keseimbangan (proportionality) dalam sebarangan keputusan atau tindakan untuk menghadkan atau menyekat media,” katanya.

Pada Selasa, media melaporkan Japen mendapati terdapat artikel berita diterbitkan portal Harakah Daily bertarikh 6 November lalu, bertajuk ‘Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin’ yang melanggar etika kewartawanan Malaysia iaitu tuduhan tidak berasas.

Japen kemudiannya meminta kerjasama pihak akhbar berkenaan untuk memulangkan semua Kad Perakuan Media selewat-lewatnya semalam dan permohonan memperbaharui adalah tidak diluluskan.

Mengulas lanjut, Wathshlah G Naidu mengulangi seruan mereka kepada kerajaan untuk lebih telus tentang proses dan mekanisme bagaimana keputusan dibuat berkaitan menghadkan akses media. 

Beliau berkata kegagalan mengekalkan standard antarabangsa dan proses keadilan menimbulkan persoalan serius mengenai komitmen kerajaan terhadap kebebasan media dan kebebasan bersuara.

“CIJ mendesak kerajaan untuk mempercepatkan penubuhan Majlis Media Malaysia, sebagai badan kendiri yang telus bagi industri ini. 

“Adalah penting bahawa tiada wakil kerajaan duduk dalam badan membuat keputusan Majlis Media bagi mempromosikan kemandirian dan mendapatkan kepercayaan awam. 

“Kami ingin menegaskan sekali lagi tentang perkara ini kerana ingin memastikan kerajaan tidak kekal sebagai pengadil tunggal kebenaran dan mencegah penapisan media oleh pelaku dengan kepentingan politik,” katanya. — The Merdeka Times

Sumber : Platform X Centre for Independent Journalism




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo