NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Orang Melayu sudah hilang kuasa, UMNO hanya menumpang dalam kerajaan



Penubuhan kerajaan campuran yang disertai UMNO menyaksikan orang Melayu kini sudah hilang kuasa dan realiti itu sedang berlaku sekarang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata UMNO hanya sekadar penumpang dalam kerajaan campuran yang terdapat DAP, malah UMNO menjadi minoriti dalam kerajaan yang tidak mempunyai kuasa dalam membuat keputusan dan hala tuju orang Melayu.

“Kuasa politik yang selama ini diterajui oleh parti Melayu, kini telah hilang dari tangan orang Melayu akibat percaturan kuasa selepas PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15).

“Walaupun UMNO sebagai sebuah parti Melayu berada di dalam kerajaan, mereka tidak ada kuasa. UMNO yang hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen sekadar menumpang kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan.

“Tanpa UMNO pun Pakatan Harapan masih boleh memerintah,” katanya semasa ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan pagi tadi.

Muhyiddin membangkitkan berhubung isu-isu sensitif melibatkan agama Islam dan Melayu yang sudah berani disentuh, antaranya dalam isu kalimah Allah.

“Kerana itu, janganlah kita berasa hairan apabila kerajaan hari ini secara sedar mengambil tindakan-tindakan yang menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam.

“Misalnya, rayuan kes kalimah Allah ditarik balik oleh kerajaan. Sedangkan umat Islam percaya bahawa Allah adalah nama khusus untuk Tuhan bagi orang Islam dan tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain. Kes kalimah Allah ini amat sensitif bagi umat Islam kerana ia menyentuh kesucian agama Islam.

“Sekarang saya hendak tanya kerajaan. Apa jadi dengan kes ini? Apakah penyelesiannya? Adakah kerajaan telah menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya suatu penyelesaian dicari bagi menyelesaikan kemelut berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam?” katanya lagi.

Muhyiddi juga menegaskan Malaysia bukan sebuah negara sekular seperti yang diinginkan oleh DAP.

“Malaysia bukan negara sekular. Kerana itu, Perlembagaan Persekutuan memberikan kedudukan yang tinggi kepada agama Islam. Kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bukan bersifat ceremonial semata-mata.

“Terdapat peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Islam sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan dan undang-undang negara,” katanya.

Muhyiddin bimbang dengan penguasaan DAP dalam kerajaan campuran, isu-isu melibatkan hak dan keistimewaan orang Melayu akan dicabar bagi memastikan cita-cita mereka menjadi negara sebuah negara sekular tercapai.

“Kerana kerajaan hari ini bukanlah kerajaan yang dikuasai oleh parti yang berjuang untuk memartabatkan agama Islam. Malah, parti DAP yang antara matlamat utama perjuangannya ialah untuk menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai perlembagaan yang sekular adalah parti yang terbesar dalam kerajaan.

“Jadi, mustahil DAP yang menguasai kerajaan akan membenarkan kerajaan untuk membawa suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan di Parlimen untuk memartabatkan undang-undang Syariah.

“Malah, tindakan pihak-pihak yang mencabar undang-undang Syariah di negara ini adalah amat selari dengan perjuangan DAP,” katanya lagi.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo