SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta orang ramai mendoakannya susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada esok akan memutuskan sama ada beliau dilepaskan atau disabitkan atas empat pertuduhan.
Menurut Syed Saddiq, beliau hanya mahu membersihkan nama baik dan mengakui nasibnya kini bergantung kepada ALLAH SWT dan pihak mahkamah.
“Esok keputusan Mahkamah saya, tolong doakan. Dari 2020, saya dan keluarga disiasat.
“Bermula dengan cubaan sogokan dan diakhiri dengan ugutan, hanya untuk beli maruah saya dan menggadaikan prinsip. Lagi ditekan, lagi saya lawan,” katanya menerusi hantaran di X pada Rabu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mahkamah akan menentukan nasib bekas Menteri Belia dan Sukan tersebut yang terlibat dalam empat pertuduhan bersubahat, pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid dijadualkan membaca keputusan di akhir kes pembelaan itu pada jam 9 pagi, sekiranya mahkamah memihak kepada pihak pembelaan dengan berpendapat ia berjaya menimbulkan keraguan munasabah, beliau akan dilepas dan dibebaskan serta-merta.
Bagaimanapun, andai sebaliknya berlaku, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berusia 30 tahun itu bakal berdepan hukuman penjara atau denda, jika sabit kesalahan.
Syed Saddiq turut memaklumkan, beliau tidak menerima sebarang sogokan, lompat parti, menangguhkan atau meminta kes digugurkan, namun tetap yakin kebenaran akan berpihak kepadanya.
“Disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS).
“Berani kerana benar. Insya-ALLAH kebenaran akan menang juga,” ujarnya.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment