PASIR GUDANG - Ahli Parlimen tidak seharusnya hipokrit atau bersikap 'double standard' apabila lantang mempersoalkan kewajaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan Minggu Solidariti Palestin terutama di sekolah yang berakhir Jumaat.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menafikan dakwaan program itu akan mempengaruhi atau mengajar pelajar mengangkat senjata atau menggunakan kekerasan sebaliknya mendidik pelajar erti kemanusiaan serta kemerdekaan.
"Wajar mengadakan soladirati ini kerana isu Palestin ini bukan isu terpisah di Timur Tengah tetapi isu kemanusiaan sejagat yang berlarutan sejak 1948. Rakyat Palestin terdiri daripada orang Islam, Kristian dan Yahudi, jadi ini bukan isu agama semata-mata.
"Sudah lebih 75 tahun bumi dan rakyat Palestin dirampas dan dijajah Israel. Ini isu penjajahan dan minggu soladirati ini kita adakan bertujuan mendidik semua manusia menjadi adil. Ini isu relevan dan jangan 'double standard'.
"Sepatutnya kalau kita (ahli Parlimen atau parti politik) tidak bersetuju pendirian kita mesti sama, contohnya apabila Rusia menceroboh wilayah Ukraine dan isu penindasan pelarian Rohingya di Myanmar, pendirian kita mesti sama iaitu tidak bersetuju," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Helping Hands, Helping Heart 2.0 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang dan penyerahan 40 bakul makanan Parlimen Pasir Gudang di Kampung Orang Asli Teluk Jawa di sini pada Sabtu.
KPM melaksanakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga Jumaat di sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara bagi mendidik nilai-nilai manusiawi, termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan dalam kalangan pelajar.
Namun beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) termasuk Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook menyuarakan bantahan dan mendakwa DAP terkilan dengan penganjuran program di sebuah sekolah rendah yang memaparkan unsur keganasan dan ekstremisme dengan penggunaan replika senjata.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, partinya menentang sebarang bentuk keganasan dan membantah semua bentuk program mempamerkan unsur-unsur kekerasan bersenjata di semua sekolah selain program seumpama itu hanya akan memberikan mesej dan pengajaran yang salah kepada generasi muda.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, ahli Parlimen termasuk dalam blok kerajaan perlu menyokong dasar Kerajaan Perpaduan yang sudah memutuskan untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin memerdekakan bumi mereka.
"Kalau perlu ahli-ahli Parlimen yang tentang dasar dan didikan (diterapkan dalam Minggu Solidariti Palestin) (mereka) perlu ditarbiah dan dididik apa ertinya tak kira siapa, tak kira daripada parti apa pun termasuk daripada parti saya sendiri (Parti Keadilan Rakyat-PKR).
"Kalau nak berbahas (kewajaran mengadakan program itu) saya bersedia. Takkan nak buat benda baik (ditentang). Kita kena faham isu Palestin amat dekat dengan umat Islam yang mendapat sokongan di Malaysia dan Indonesia kerana Baitul Maqdis merupakan kiblat pertama orang Islam," katanya.
Mengenai senarai ahli Parlimen PKR yang bukan Islam tidak menyokong pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden parti itu, beliau berkata, perkara tersebut seperti tular yang dalam media sosial bukan pendirian parti.
"Mereka lebih lajak daripada perahu, takkan nak salahkah kerajaan dan PM (Perdana Menteri), takkan kita parti Keadilan kita tak faham erti keadilan dan tegakkan keadilan," tegas bekas Pengerusi PKR Johor itu.
Sumber I Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment