Menteri-israel
Amichai Eliyahu

TEL AVIV – Seorang menteri dari parti ekstremis Otzma Yehudit berkata, salah satu pilihan Israel dalam perang di Gaza ialah menggugurkan bom nuklear di semenanjung tersebut.

Menteri Warisan Amichai Eliyahu berkata demikian dalam temu bual dengan Radio Kol Berama ketika ditanya sama ada bom atom patut dijatuhkan di kawasan itu.

Menteri tersebut juga menyuarakan bantahannya terhadap sebarang bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Kami tidak akan menyerahkan bantuan kemanusiaan Nazi,” dan mendakwa bahawa “tidak ada orang awam yang tidak terlibat di Gaza,” katanya.

Beliau turut menyokong cadangan merebut semula wilayah Gaza dan memulihkan penempatan di sana.

Ditanya tentang nasib penduduk Palestin, dia berkata: “Mereka boleh pergi ke Ireland atau padang pasir, ‘raksasa’ di Gaza harus mencari penyelesaian sendiri.”

Menurut The Times of Israel, Eliyahu bukan dalam senarai Kabinet perang yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Benjamin Netayahu.

Eliyahu yang kemudiannnya mendapat kritikan hebat termasuk dari Israel mengenai cadangan untuk meletupkan Gaza dengan bom nuklear menarik balik perkataan beliau.

Menteri itu berkata, kenyataannya mengenai mengebom Gaza dengan nuklear adalah ‘metafora’.

Dalam ciapan di X dia berkata, “jelas kepada sesiapa yang mempunyai otak bahawa kenyataan tentang atom itu adalah metafora.”

Dia menambah: “Kita mesti mempamerkan tindak balas yang kuat dan tidak seimbang terhadap keganasan, yang akan menjelaskan kepada Nazi dan penyokong mereka bahawa keganasan tidak berbaloi.

“Ini adalah satu-satunya formula yang boleh digunakan oleh negara demokrasi untuk menangani keganasan.” -MalaysiaGazette