NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengapa tulis nama saya dalam kertas pertuduhan?, tanya Sanusi

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan pendakwaan terhadap bekas pegawai kanannya berkaitan kes rasuah dan meminta suapan dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) mempunyai kecenderungan politik.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, perkara berkenaan boleh dilihat apabila namanya terpapar dalam kertas pertuduhan membabitkan bekas Setiausaha Politiknya, Mohamad Hilmi Abdul Wahab di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Menurutnya, nama beliau tidak sepatutnya ditulis dalam kertas pertuduhan terbabit kerana Mohamad Hilmi bukannya bertugas kepada beliau secara peribadi, sebaliknya berkhidmat kepada Menteri Besar Kedah.

“Ada dalam kertas pertuduhan ditulis nama saya, saya rasa ini political motivated charge. Mengapa tulis nama saya dalam kertas pertuduhan depa (mereka). Saya tak ada sangkut-paut.

“Tulis bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah okay, tetapi tulis bekas Setiausaha Politik kepada Muhammad Sanusi Md. Nor, Menteri Besar Kedah. Pasai apa (mengapa) bubuh (letak) nama saya?

“Itu saya kata political motivated, bubuh jawatan sudahlah sebab dia bukan setiausaha politik Muhamad Sanusi, dia Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah. Tak patut tulis nama saya, nampak sangat main politik apa sampai tara (tahap) tu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Kelmarin, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, Muhamad Sobri Osman, 63, dan Mohamad Hilmi, 50, didakwa di mahkamah selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersabit kegiatan perlombongan REE.

Mengulas mengenai pertuduhan ke atas dua individu terbabit, Muhammad Sanusi berkata, Muhamad Sobri dan Mohamad Hilmi berpeluang membersihkan nama mereka di mahkamah selepas ini.

Katanya, pelbagai tuduhan ke atas mereka dibuat dalam media sosial sebelum ini sehingga menyebabkan ‘pendakwaan’ tidak adil kepada pihak yang dituduh terlibat dalam kes berkenaan.

“Saya tak boleh komen kerana ini kes mahkamah, tetapi ada hikmahnya kerana mereka ada ruang untuk bersihkan diri daripada pelbagai persepsi yang dibangkitkan pihak yang menyerang sejak kecurian berlaku pada 2022. Serang hari-hari, tuduh macam-macam.

“Tuduhan bukan bersalah lagi, seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan, tunggu bicara dulu. Mereka kata macam-macam, tiba-tiba (kalau) bicara (nanti) tak bersalah macam mana? Dibicarakan di media suatu perbuatan berat (kerana) tak dapat dijawab. Kena kemukakan bukti, mungkin bicara nanti tak dapat dibuktikan kesalahan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sudah menetapkan satu lokasi untuk projek rintis bagi kajian kesan penerokaan atau ekstrak REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik yang akan dimulakan nanti.

“Kita dah cakap dengan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang kita bersedia bila-bila masa. Kawasan itu berkeluasan 6,000 hektar dan berapa luas mereka perlukan kita akan bagi,” katanya.  

Sumber | TUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo