KUALA LUMPUR: Pertubuhan parti politik antarabangsa, Liberal International sudah mengeluarkan nama dan logo PKR daripada laman sesawangnya hari ini.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata Liberal International juga mengambil maklum PKR bukan ahli pertubuhannya.
"Penurunan logo itu dibuat setengah jam lalu. Sebelum ini saya berhubung dengan pihak Liberal International untuk meminta supaya nama dan logo PKR dikeluarkan daripada laman web organisasi itu," katanya kepada media selepas merasmikan Program Pemerkasaan Orang Kurang Upaya (OKU) Celik Digital di Pusat Komuniti IWK Eco Park, di sini, hari ini.
Program pemerkasaan itu julung kali diadakan bersama-sama golongan OKU dari seluruh negara.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai hantaran oleh beberapa pihak yang mendakwa, PKR menjadi ahli dalam organisasi parti politik liberal antarabangsa yang turut dipercayai mempunyai kaitan menyokong Israel.
Liberal International adalah sebuah organisasi parti politik liberal di seluruh dunia yang diasaskan di Oxford pada 1947 dan menjadi rangkaian utama bagi parti liberal yang bertujuan untuk mengukuhkan liberalisme di seluruh dunia.
Wan Azizah ketika hadir Mesyuarat Liberal International mewakili PKRFahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, PKR juga sedang meneliti langkah seterusnya berhubung tohmahan jahat yang dilemparkan terhadap parti itu.
"Saya akan minta kawan-kawan peguam untuk mengambil kira tohmahan dan fitnah jahat oleh beberapa pihak yang cuba mengaitkan PKR dengan Liberal International.
"Sekiranya ada keperluan, kita akan mengambil tindakan perundangan atau kita teliti perkara ini lebih mendalam supaya semua menghentikan tohmahan itu," katanya.
Katanya lagi, berdasarkan maklum balas yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) lebih 200 kandungan berkaitan Liberal International dikaitkan dengan PKR.
"Memang ada tingkah laku yang diselaraskan (coordinated behavior) dan ini serangan politik dan penting saya jelaskan fakta, PKR bukan ahli Liberal International," katanya.
No comments
Post a Comment