Asap tebal memenuhi ruang udara ketika pertempuran darat antara tentera Israel dan pejuang Hamas di Genting Gaza semakin sengit. - Foto: AFP |
BANDAR GAZA - Lebih 40 terbunuh dalam kempen pengeboman yang sekali lagi menyasarkan kem pelarian Palestin di tengah Genting Gaza pada lewat Sabtu.
“Kesemua mayat yang menjadi mangsa kezaliman terbaharu Israel dibawa ke hospital di Deir al-Balah.
"Tentera Israel sengaja mengebom kediaman orang awam di kem pelarian al-Maghazi dan kebanyakan mangsa ialah wanita serta kanak-kanak,” ujar jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra pada Ahad.
Serangan ganas itu berlaku beberapa hari selepas rejim Zionis membedil kem pelarian Jabalia dan Bureij yang telah meragut lebih 200 nyawa.
Konflik yang berlarutan selama hampir sebulan itu turut menyaksikan hujan peluru terus menyasarkan sumber air utama, sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), masjid dan hospital di sekitar wilayah terkepung tersebut.
Ketika ini, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dikatakan telah mengepung Bandar Gaza yang terletak di utara al-Maghazi setelah unit infantri didakwa semakin mara untuk melancarkan operasi darat di bawah fasa baharu peperangan yang dijangka lebih dahsyat.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant dalam satu kenyataan memaklumkan unit tersebut kini telah menggempur kawasan penempatan penduduk dan kononnya telah ‘menguasai’ kedudukan dari selatan dan utara Bandar Gaza.
Gallant sekali lagi mengulangi ikrar untuk menghapuskan kepimpinan Hamas dan pada kali ini menyasarkan komander Yahya Sinwar.
Pertempuran yang semakin sengit dengan pejuang Hamas turut menyaksikan sembilan lagi anggota IDF maut, sekali gus menjadikan jumlah tentera yang terbunuh sejak operasi darat dilancarkan pada minggu lalu meningkat kepada hampir 30 orang.
Situasi yang terus meruncing menyebabkan penduduk di utara Gaza sekali lagi diberi tempoh singkat untuk segera berpindah ke selatan.
Tetapi, ramai yang gagal berbuat demikian kerana sudah terperangkap berikutan serangan bertubi-tubi sejak dua minggu lalu, malah kira-kira 300,000 penduduk dilaporkan hilang tempat tinggal. - Agensi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment