Tangkap layar rakaman video timbunan sampah di luar Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang tular menjelang Konsert Coldplay malam ini. |
SHAH ALAM – Perbuatan segelintir penonton konsert kumpulan rock Britain, Coldplay membuang sampah sesuka hati yang mengakibatkan kawasan luar stadium Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dicemari timbunan sampah tular di media sosial pada Rabu.
Rakaman video berdurasi 11 saat yang dikongsi di laman aplikasi X itu memaparkan pekarangan stadium itu dipenuhi sampah menjelang konsert 'Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur' yang akan berlangsung malam ini.
Menerusi rakaman itu, dapat dilihat longgokan sampah plastik makanan dan botol minuman yang dibuang penonton di kawasan Lorong mereka beratur untuk masuk ke dalam stadium.
Sehingga jam 7.30 petang, perkongsian itu meraih sebanyak 466,000 tontonan dan 1,372 ulang kongsi (reposts).
Majoriti pengguna aplikasi X mengecam tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pengunjung konsert berkenaan.
Salah seorang pengguna aplikasi tersebut @nabilfikran10 berkata, perbuatan segelintir penonton itu memalukan apatah lagi Coldplay sebelum ini pernah menaja Malaysia untuk membersihkan sampah di sungai.
“Coldplay dah belanja RM3.2 juta taja ‘interceptor’ (mesin perangkap sampah) untuk bersihkan Sungai Malaysia. Lepas itu kamu buang sampah di darat pula,” katanya.
Sementara itu, ujar @faktura, disebabkan sikap tidak bertanggungjawab seumpama itu, Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura dan Jepun dalam bab kebersihan.
Bagaimanapun, setakat jam 7.30 malam juga tidak dapat dipastikan sama ada sampah berkenaan sudah dibersihkan atau tidak.
Konsert Coldplay yang julung kali diadakan di negara ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peminatnya apabila tiketnya 'licin' dalam tempoh empat jam selepas penjualannya dibuka pada Mei lalu.
Sumber I Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment