NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kita akan melihat semula GEG sekiranya perlu, kata Zaliha

Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya tidak melupakan terus GEG. (Gambar Bernama)


KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menjelaskan pihaknya mengetepikan dahulu peruntukan berkaitan “generasi penamat (GEG)” daripada Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 selepas pandangan Jabatan Peguam Negara diambil kira.

Beliau berkata, pemantauan akan dilakukan secara berterusan terhadap keberkesanan RUU itu selepas ia diluluskan.

“Kalau kita rasa ada keperluan untuk melihat kembali GEG mungkin ketika itu ia akan dibawa kembali.

“Tapi saya tak beri masa bila. Kita tak terus melupakan tetapi disebabkan pandangan Peguam Negara maka kita dahulukan keutamaan,” katanya dalam sesi taklimat RUU itu bersama pengamal media di Parlimen.

Terdahulu, Zaliha membentangkan RUU tersebut untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini dengan peruntukan berkaitan GEG digugurkan.

Peruntukan GEG itu melarang penjualan produk tembakau, bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Baru-baru ini, Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh berpandangan peruntukan GEG itu boleh dicabar di mahkamah kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berkaitan layanan sama rata.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai pengguguran peruntukan berkaitan “peranti merokok” dalam RUU itu, Zaliha berkata ia sebenarnya tertakluk dalam akta di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Itu bukan spesifik bawah Kementerian Kesihatan tetapi jika produk itu berkait perkara terkandung Fasa 7(1) iaitu Larangan Pengiklanan Produk Tembakau, maka ia akan jatuh bawah kawalan KKM,” katanya.

Sementara itu, Zaliha menyifatkan dakwaan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin bahawa pengguguran peruntukan GEG berpunca daripada “lobi kuat syarikat tembakau” adalah sebagai pandangan peribadi.

“Itu pandangan peribadi. Sesiapa boleh berkata apa-apa sahaja,” katanya.

Tambahnya, pandangan Jabatan Peguam Negara di mana RUU itu bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan antara satu-satunya sebab mendorong keputusan pengguguran peruntukan itu.

Sebelum ini, Khairy menerusi media sosial mendakwa penguguran peruntukan GEG daripada RUU itu bukannya disebabkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, tetapi disebabkan lobi kuat daripada syarikat tembakau.


Sumber I FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo