Lebih tujuh dekad PAS berjuang di tanah leluhur ini, menentang maksiat dan kemungkaran adalah pakej perjuangan parti Islam tertua ini. Parti pak lebai ini menguasai empat buah kerajaan negeri, tidak membataskan rakyat hanya dalam program di masjid dan surau sahaja. Terengganu contohnya sejak 2018, PAS mengambil alih kerajaan dengan artis dan seniman juga boleh berpartisipasi dalam pelbagai program hiburan. Antara anak seni yang pernah diundang seperti Ramli Sarip, Yantzen, Zuar XPDC, Ali Terra Rossa, Ijam Medicine, Heliza Helmi dan puluhan anak seni yang lain. PAS bukanlah taliban seperti yang sering dimomokkan oleh DAP kepada pengundi dan pentaksub mereka.
Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah. Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah dan tidak disiram ketaatan kepada Allah. Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebajikan bahkan tangan dan mulut senang untuk mengeji dan menista. PAS berbeda dengan parti konvensional yang lain.
Penggalang pemikiran pragmatis tidak akan meletakkan acuan dosa dan pahala dalam tindakan mereka, pertimbangan moral dan akhlak tiada dalam neraca pemikiran
Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada method dakwah yang digunakan oleh para ulamak dalam mengembangkan dakwah Islam. Di Nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masihi, para ulamak telah menggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan Kerajaan Islam, perdagangan dan sebagainya sebagai methoddakwah. Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulamak di Nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai method dakwah mereka. Antaranya seperti dakwah wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.
Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulamak telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan. Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat. Kita semua sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada ‘sensate culture’, budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.
Masyarakat Muslim perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban. Entahlah, mungkin rasa bosan terkurung menjadikan kita kecanduan berhibur atau kita menyalahi catatan takdir. Kita semua, peserta-peserta universiti tarbiah Ramadhan sepatutnya insaf dengan membuncahnya aktiviti penagihan najis dadah di kalangan anak muda, gejala buta agama, kecanduan melampau pada hiburan serta ghazwatul fikri yang dilancarkan oleh musuh Islam untuk merosakkan belia dan anak muda.
Moga tarbiah Ramadhan yang kita lalui merubah cara kita melihat sarwajagat, jadilah insan peduli ummah, ringan membantu orang lain, menyintai petunjuk Rabbani, berteleku memohon keampunan Tuhan dan bercermin diri. Moga umat Islam memahami apa aspirasi dan bentuk hiburan yang dibenarkan dalam agama ini, tolak kehadiran artis Barat yang menjunjung nilai kebejatan seperti Coldplay. Jangan biarkan mereka pemuja seks songsang ini meracuni akal dan nurani anak-anak muda kita, bantah dengan berkesan!.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 18/11/2023
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment