KEMAMAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dijangka mengumumkan calon dari parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 13 November ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said memberi bayangan bahawa calon berkenaan adalah individu yang terkenal dan antara nama-nama terkemuka negara.
BN dijangka meletakkan calon dari UMNO sebagai cubaan untuk merampas kerusi berkenaan daripada PAS walaupun tugas agak berat berikutan kekalahan majoriti besar calonnya pada PRU15.
Ahmad juga mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada PRK itu tetapi bakal melaksanakan tugas sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK berkenaan.
Pengumuman itu dibuat ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Jentera Pilihan Raya Kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai.
Beliau yang juga bekas menteri besar berkata, semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan calon yang akan dipilih.
"Pengumuman akan dibuat Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur dan meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai calon PRK berkenaan.
"Presiden juga telah maklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) nama calon yang akan bertanding," katanya.
Hadir sama pada majlis itu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Pada PRK itu, BN mensasarkan sebanyak 550 undi diperoleh dari setiap cawangan dan ia tidak mustahil boleh dicapai dengan bantuan jentera dari seluruh negara termasuk MCA dan MIC.
"Kita akan buat konsep anak angkat dan bapa angkat yang mana setiap bahagian akan jaga satu cawangan. Kita ada 109 cawangan, untuk cawangan yang besar, mungkin dibantu oleh dua cawangan," katanya.
Ahmad berkata, kemenangan pada PRK itu sangat penting kerana ia menentukan Kerajaan Perpaduan memperoleh kembali majoriti dua pertiga kerusi dalam Dewan Rakyat.
"Yang penting, kita nak tambah satu kerusi dan kembalikan dua pertiga kerusi dalam kerajaan.
"Sebelum ini kita ada 148 kerusi, namun sekarang tinggal 147 selepas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar), keluar (dari blok kerajaan). Jadi Kemaman akan tentukan 148 kerusi," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Ahmad yang juga calon BN tewas kepada calon PAS Che Alias Hamid dengan majoriti 27,179 undi.
Che Alias memperoleh sebanyak 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru manakala Ahmad (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab Ghani (506 undi).
PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu.
BN pernah memenangi kerusi parlimen itu selama tiga penggal berturut-turut menerusi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum tewas pada PRU14.
No comments
Post a Comment