KEMAMAN - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menafikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar adalah calon Perdana Menteri pada masa depan.
Menurutnya, pemilihan Menteri Besar Terengganu itu sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman adalah salah satu langkah strategik yang diambil dalam memberikan gambaran kepada rakyat bahawa PN tidak ketandusan pemimpin berwibawa.
"Rakyat secara keseluruhannya (akan melihat) bahawa kita ada ramai tokoh yang bijaksana, berkemampuan, teruji dan sikapnya sederhana.
"Kita tak boleh nafikan akan ada masa. Saya kira mungkin bila PN mencipta sejarah (atau) sama ada nak sampai PRU16 (Pilihan Raya Umum Ke-16), harapan kita adalah besar untuk tubuh kerajaan.
"Saya percaya keputusan pucuk pimpinan Pas buat begitu untuk meletakkan dia sebagai calon Parlimen adalah langkah strategik yang memberikan natijah yang cukup baik untuk Pas dan PN," katanya ketika ditemui selepas program ramah mesra dengan penduduk Felda Kerteh 5, di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada calon Pas itu adalah calon Perdana Menteri daripada gabungan itu.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, berdasarkan keputusan pilihan raya yang lepas, Ahmad Samsuri diyakini mampu mencatatkan kemenangan besar.
"PRK ini sangat penting kerana ia diadakan selepas PRN, ketika undi PN semakin kukuh dan mantap. Saya pun ada sebut peratusan yang tinggi (82 peratus sokongan undi Melayu).
"Sebahagian besar menyokong kita dan ada satu lagi ujian untuk Kemaman. Saya yakin majoriti yang akan dicapai jauh lebih tinggi.
"Biasanya walaupun PRK, orang tak nak mengundi (tapi) kali ini saya harap mereka mengundi kerana tokoh kali ini adalah yang besar," ujar beliau.
Jelas Muhyiddin, dengan adanya menteri besar yang dipilih sebagai ahli Parlimen, ia akan menunjukkan sokongan yang lebih besar untuk PN di peringkat nasional.
Sumber I Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment