PETALING JAYA: Kerajaan perpaduan tidak perlu terlalu “teruja” dengan sokongan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang disifatkan “janggal” dan mungkin mempunyai motif tertentu, kata penganalisis politik.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia (USM) mempersoalkan tindakan wakil Perikatan Nasional (PN) itu yang mengisytiharkan menyokong Anwar Ibrahim, pada masa sama duduk di bangku pembangkang di Parlimen.
“Memang janggal,” katanya yang tidak menolak langkah itu antara lain mahu menguji undang-undang anti lompat parti yang dikuatkuasakan pada 5 Okt tahun lepas.
“Saya melihat ia sebagai kes ujian untuk melihat bagaimana undang-undang itu dikuatkuasakan dalam satu tindakan politik sama ada menguntungkan gabungan parti pemerintah,” katanya kepada FMT.
Beliau juga tidak menolak adanya undang-undang berkenaan menyekat ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu untuk mengisytiharkan dirinya keluar parti.
“Jika dipecat Bersatu, PN akan hilang satu kerusi Parlimen tetapi beliau mungkin tidak perlu melepaskan kerusinya dengan syarat jadi Ahli Parlimen bebas sepanjang penggal.
“Tetapi apakah kerajaan akan tetap memberi peruntukan kepadanya seperti wakil rakyat bebas lain dalam blok kerajaan?,” katanya yang samar terhadap “balasan kerajaan” kepada wakil rakyat itu.
Khamis lalu, Iskandar memutuskan untuk menyokong kepimpinan Anwar, namun Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin mendakwa tindakan itu berpunca kerana beliau diugut untuk didakwa atas kesalahan rasuah selain ditawarkan habuan wang.
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi pada Jumaat berkata Iskandar tidak menghubungi, bertemu, atau berbincang dengan perdana menteri mengenai sokongannya.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara pula berpendapat sukar hendak mempercayai wujud ugutan seperti didakwa Hamzah yang berbeza dengan kenyataan Iskandar.
“Sukar hendak dibaca mana nak dipercayai sama ada Hamzah atau Iskandar,” katanya sambil menambah pembangkang harus fokus kepada tugasnya dalam proses semak dan imbang, berbanding cubaan berterusan untuk merampas Putrajaya.
Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata kerajaan harus lebih berhati-hati dengan perkembangan baharu politik tanah air itu kerana motif sebenar tindakan Iskandar belum diketahui.
“Saya tak fikir itu cubaan ‘memerangkap’ kerajaan kerana ia hanya dari sudut taktikal individu, mungkin beliau cuba bawa pemahaman baru iaitu politik keterbukaan,” katanya yang menyifatkan pemerintah sekarang tidak perlu merasa tergugat ekoran sudah mempunyai majoriti selesa.
Sumber I Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment