Subang Jaya: Seramai 900 kakitangan Myairline Sdn Bhd (Myairline) masih kekal sebagai pekerja syarikat itu dan tidak ditamatkan perkhidmatan sehingga kini.

Eksekutif Interim MyAirline Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, tiada pekerja yang diberhentikan atau diberi cuti tanpa gaji dan usaha membayar gaji mereka akan diberi keutamaan sebaik sahaja pelabur baharu mengambil alih.

"Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa semua kakitangan kekal di bawah pekerjaan MYAirline, tiada sesiapa yang diletakkan pada cuti tanpa gaji atau ditamatkan perkhidmatan sehingga kini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MyAirlines, di sini, hari ini.

Azharuddin berkata, pihaknya juga sudah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi memaklumkan berhubung perkara ini.

"Kami juga ingin memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Stuart Cross sudah meletak jawatan dan bukan lagi kakitangan MYAirline," katanya.

Dalam pada itu, Azharuddin positif rundingan dengan bakal pelabur baharu bagi menyelamatkan syarikat penerbangan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"MYAirline sudah memulakan Pelan Pemulihan Perkhidmatan dan Pelan Kesinambungan Perniagaan dengan tumpuan kepada penambahbaikan dan peningkatan akauntabiliti.

"Pengutamaan semula objektif juga akan diumumkan selepas permodalan semula selesai. Berhubung dengan bakal pelabur, MYAirline sedang giat meneroka perkongsian strategik dan kini menerima beberapa cadangan," katanya.

Menurutnya, semua cadangan akan melalui penilaian terperinci dan usaha yang wajar.

"Adalah penting juga untuk diambil perhatian bahawa perbincangan dengan pemberi pajak sedang berjalan untuk mengekalkan pesawat kami.

"Kami akan sentiasa membawakan perkembangan terkini berhubung syarikat kepada kakitangan dan pihak media," katanya.


Sumber | HMetro