NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Subsidi bersasar galak peralihan masyarakat guna EV – Nik Nazmi



KUALA LUMPUR – Pelaksanaan subsidi bersasar yang turut merangkumi minyak dijangka menjadi faktor yang akan menggalakkan lebih ramai pemandu beralih menggunakan kenderaan elektrik (EV).

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah itu akan menyebabkan pemandu yang tidak layak menerima subsidi perlu membayar kos sebenar untuk minyak.

“Kemungkinan ramai antara mereka akan berhijrah kepada EV, mungkin itu juga akan menjadi satu faktor penting.

“Di negara-negara lain seperti China, EV berkembang dengan sangat cepat apabila mereka terpaksa membayar harga sebenar untuk bahan api,” katanya dalam sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Chen (PH-Subang) mengenai insentif yang boleh diberikan kerajaan bagi menggalakkan rakyat menggunakan EV.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Wong berhubung jangkaan pelepasan gas rumah hijau apabila sasaran 1.5 juta EV di negara ini dicapai, Nik Nazmi memberitahu, Malaysia mempunyai kadar pemilikan kereta yang tertinggi berbanding negara-negara jiran.

Menurut beliau, pendekatan kerajaan adalah untuk melihat isu ini secara keseluruhan dan bukan tertumpu kepada EV semata-mata.

“Kita boleh lihat dari segi pengangkutan awam, mobiliti mikro, tetapi kita juga tahu bila kita bercakap tentang soal logistik.

“Kita bercakap tentang soal ekosistem dan masih ada banyak tempat di luar Lembah Klang misalnya yang memerlukan kereta,” jelasnya.

Nik Nazmi berkata, atas sebab itu, kerajaan melihat bahawa EV akan menjadi satu alternatif untuk memastikan kadar pelepasan gas rumah hijau di negara ini dapat dikurangkan. – MalaysiaGazette






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo