KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa, kerajaan bersetuju agar subsidi dan kawalan harga bagi ayam sahaja yang akan ditamatkan sepenuhnya bermula 1 November ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagaimanapun subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A,B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.
Menurutnya, sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 bilion subsidi telur dan ayam dengan RM100 juta adalah dikhaskan untuk ayam.
”Rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana pada ketika ini yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
“Penamatan harga kawalan ayam juga menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini pada Isnin.
Tambahnya, melalui kaedah ini kerajaan akan turut dapat meningkatkan pelbagai inisiatif sosio-ekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.
“Penamatan subsidi ayam ini mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling,” ujarnya.
Dalam hal ini katanya, kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan terus berada pada kadar yang munasabah.
Tambahnya, kerajaan meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara bagi memberikan pilihan.
“Saya memberi jaminan jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semasa.
Ujarnya, kerajaan juga bersedia untuk mendapatkan bekalan tambahan daripada sumber luar, jika terdapat kekurangan daripada segi bekalan yang menyebabkan kenaikan harga secara mendadak.
Selain itu, kata Mohamad Sabu, kerajaan akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan status bekalan dan harga ayam di ladang berada dalam keadaan stabil serta tidak membebankan rakyat dan tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan.
“Justeru penumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana serta skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti dan program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.
“Langkah ini akan memberi peningkatan dari segi akses bekalan secara terus daripada penternak komuniti kepada pemborong pemborong di pasaran,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai langkah intervensi, katanya, tindakan akan diambil melalui penguatkuasaan harga dan pencatutan bagi memastikan harga tidak membebankan rakyat.
“Biasanya (ketika) Jualan Rahmah, harga barang keperluan utama akan turun 10 hingga 30 peratus (daripada) harga pasaran dan akan bantu ringankan bebankan pengguna.
“Harga selalu naik mendadak sebab bekalan tak cukup, tapi kalau tak cukup kita sedia bekalan di luar, tapi saya yakin bekalan akan cukup sekarang dan masa akan datang.
“Kalau beli ikut kegunaan biasa pasti akan cukup, jangan buat pembelian panik atau beli untuk stok mesti bekalan tidak cukup,” ujarnya.
No comments
Post a Comment