Pada Jumaat, SPRM menyerbu dua firma guaman di Kuala Lumpur dan menuntut mereka menyerahkan dokumen. |
PETALING JAYA: Seorang bekas Ahli Parlimen menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersikap telus sepenuhnya dalam mengendalikan kes berprofil tinggi susulan serbuan ke atas pejabat peguam yang mewakili bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.
Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, SPRM tidak boleh berdiam diri selepas mengambil tindakan serius itu kerana ia berisiko mencemarkan nama baik mereka yang terlibat.
Jumaat lepas, firma guaman Rosli Dahlan, yang pernah bertindak sebagai peguam utama 1MDB dan kini mewakili pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam saman fitnahnya terhadap Anwar Ibrahim, diserbu oleh pegawai SPRM dalam cubaan untuk merampas dokumen.
SPRM turut mengunjungi firma guaman Chetan Jethwani & Company dan membuat tuntutan yang sama.
Kedua-dua firma guaman telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak memberikan sebarang dokumen atau maklumat kepada SPRM, memetik keistimewaan profesional undang-undang.
Santiago berkata, agensi antirasuah itu bertanggungjawab menjelaskan tindakannya dan mengeluarkan maklumat terkini mengenai kes berprofil tinggi.
“SPRM menunjuk-nunjuk dengan menyerbu dan membuat tangkapan, tetapi selalunya tiada hasil (daripada tindakan sedemikian). Contohnya, apa jadi dengan kes ‘Dato Malik’?” katanya ketika dihubungi FMT.
“Apakah perkembangan signifikan (dalam kes itu)? Mesti ada beberapa bukti sebelum tindakan diambil. Apabila (SPRM) melakukan serbuan, kredibiliti seseorang atau sesebuah syarikat akan diragui.”
“Dato’ Malik” atau Abdul Malik Dasthigeer ditangkap oleh SPRM pada Julai namun dibebaskan sejurus selepas itu.
Pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies itu terkenal kerana membawa artis dari India untuk mengadakan konsert di Malaysia.
Sehari selepas Malik ditahan, SPRM menyerbu beberapa lokasi dan merampas wang tunai dan emas bernilai hampir RM40 juta.
“Apa hasil serbuan-serbuan ini? (Kekurangan kejelasan) boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan kerana akan mencetuskan tuduhan salah guna kuasa,” kata Santiago.
Tambahnya, kerahsiaan akan menimbulkan persepsi bahawa kerajaan menggunakan agensi antirasuah itu untuk menakut-nakutkan musuh, bukannya memerangi rasuah.
Santiago berkata, SPRM tidak boleh membiarkan kes-kes ini “sepi”. Walaupun telah diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut”, agensi itu mempunyai kewajipan untuk menjelaskan sebabnya secara terbuka
“Langkah berdiam diri membawa implikasi negatif terhadap tugas pencegahan rasuah SPRM. Mereka mungkin dianggap boleh ‘dibeli’,” katanya.
Selain tugasnya dengan 1MDB dan Muhyiddin, Rosli juga terlibat dalam saman fitnahnya sendiri terhadap bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dan dua individu lain berhubung dakwaan bahawa beliau dan firmanya memperoleh komisen besar daripada penyelesaian berkaitan 1MDB antara kerajaan dengan Goldman Sachs dan AmBank.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment