PUTRAJAYA: PRK Parlimen Kemaman akan diadakan pada 2 Dis ini, selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 November lalu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Abdul Ghani Salleh, mengumumkan penamaan calon akan berlangsung pada 18 Nov ini, manakala pengundian awal pada 28 Nov.
Kerusi itu dimenangi calon PAS, Che Alias Hamid dengan majoriti 27,170 undi pada PRU15, menewaskan pencabar terdekatnya yang juga bekas menteri besar Terengganu, Ahmad Said (Barisan Nasional-Umno).
Tetapi, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lalu membatalkan kemenangan Che Alias, selepas pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku bagi mempengaruhi pengundi pada PRU15.
Mahkamah memutuskan pengagihan bantuan kerajaan i-Belia dan i-Siswa kepada pengundi semasa tempoh berkempen merupakan rasuah pilihan raya. Wang itu diagihkan dalam program anjuran kerajaan Terengganu dikuasai PAS.
Awal bulan ini, PAS memutuskan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan petisyen itu.
No comments
Post a Comment