KEBELAKANGAN ini, semakin kurang kedengaran suara pemimpin-pemimpin UMNO yang menyatakan solidariti dalam perjuangan menuntut keadilan untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang selalunya lantang bersuara ialah Isham Jalil dan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. Yang lain pula kadang-kadang dan ramai yang menyepi sahaja.
Memang menyedihkan lebih-lebih lagi apabila mengenangkan Najib yang juga bekas Presiden UMNO meninggalkan jasa yang sangat besar kepada parti dan negara.
Situasi itu dapat dilihat pada program sesi dialog awam ‘Keadilan Untuk Siapa’ anjuran bersama Pertubuhan Rangkaian Kebajikan Erat Nusa Rakyat (BeNAR) Malaysia, Nusa Sejagat Malaysia, Malaysian Youth Activist (Malaya) dan UMNOSiswa di Wisma MCA, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Selain Isham yang hadir sebagai ahli panel, tidak kelihatan nama-nama besar yang lain dalam UMNO di dalam dewan kecil yang menjadi lokasi program tersebut.
Mujurlah ramai anak muda yang bersama UMNOSiswa hadir memenuhi dewan sekali gus membuktikan masih ada golongan muda dalam UMNO yang mengenang jasa Najib dan bersimpati dengan nasib beliau.
Berbeza dengan parti-parti lain yang pernah turun berdemonstrasi di jalanan apabila pemimpin utama mereka disumbat ke dalam penjara, UMNO memilih untuk menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.
Malah, Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran yang juga ahli panel menyatakan, Najib tidak bersetuju jika penyokong-penyokongnya mengadakan demonstrasi jalanan.
Memang benar demonstrasi jalanan bukan kaedah terbaik untuk menuntut keadilan bagi Najib namun itu bukan alasan bagi pemimpin-pemimpin UMNO membiarkan Najib bersendirian.
Sekurang-kurangnya, tunjukkanlah muka dan bersolidariti dengan akar umbi dan penyokong UMNO yang masih setia bersama Najib yang kini tidak lagi berada di tampuk kuasa.
Mungkin juga faktor lokasi program menjadi sebab mengapa ramai pemimpin UMNO tidak dapat meluangkan masa hadir memberi semangat kepada penyokong-penyokong setia Najib.
Pasti ramai pemimpin UMNO lebih bersemangat untuk turut serta jika sesi dialog awam itu berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan bukannya di Wisma MCA.
Walau apa pun, Najib mengambil tindakan yang tepat apabila menjadikan rakyat sebagai ‘kroninya’ semasa beliau masih berkuasa dahulu.
Kini jelas terbukti bahawa rakyat biasa yang tidak mempunyai sebarang kepentingan tetap setia bersama Najib ketika beliau dalam kesusahan. Mereka tidak meninggalkan Bossku keseorangan. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment