PETALING JAYA: Wakil Orang Asli di Dewan Negara hampa Belanjawan 2024 tidak mengorak langkah luar biasa untuk sama sekali menyelesaikan kekangan dana bagi mewartakan kawasan Orang Asli.
Senator Ajis Sitin berkata, meskipun belanjawan lazimnya menyediakan jutaan ringgit untuk Orang Asli, hanya sebahagian kecil dapat diperuntukkan untuk kerja ukur tanah meskipun ia penting dalam usaha mencegah pencerobohan dan pengambilan tanah.
“Peruntukan untuk warta itu setiap tahun ada tapi jumlahnya sikit,” katanya kepada FMT. “Sepatutnya perlu peruntukan khas yang besar bagi menyelesaikan isu pewartaan yang majoritinya belum diwarta lagi.”
Belanjawan 2024 dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam menyenaraikan Orang Asli sebagai komuniti tumpuan, dan memperuntukkan RM333 juta yang mencakupi pelaksanaan projek pembangunan sosioekonomi, prasarana, dan bantuan sosial.
Ajis akui beliau berharap dan menjangkakan kerajaan perpaduan akan menyediakan peruntukan khas bagi kerja ukur tanah Orang Asli. “Bagaimanapun ia tidak berlaku… pengumuman ini hanya peruntukan ‘conventional’ seperti tahun-tahun yang lalu.”
Beliau memberitahu FMT terdapat lebih 850 perkampungan Orang Asli di seluruh negara, dan pewartaan tanah akan memberi jaminan bahawa tiada mana-mana pihak boleh ambil atau ceroboh kawasan mereka.
Menurutnya, kerajaan negeri sudah banyak luluskan penempatan Orang Asli tapi tiada ukur sempadan dilakukan.
“Bila tanah tak warta orang boleh ceroboh sesuka hati dan mereka nak lawan penceroboh terbatas,” katanya.
Dalam pada itu, Ajis mencadangkan kerajaan pertimbang semula bentuk inisiatif bagi Orang Asli dalam belanjawan tambahan akan datang, dengan menekankan pendidikan dan keperluan murid.
Selain meluaskan bantuan seragam sekolah kepada semua peringkat umur, beliau menggesa kerajaan perbanyakkan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 Tahun dan 11 Tahun bagi mengurangkan kadar keciciran dalam kalangan pelajar Orang Asli.
Kedua-dua model itu adalah pendidikan yang bermula dari Tahun 1 hingga Tingkatan 3 atau Tingkatan 5 di sekolah sama.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment