NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rombakan Kabinet: Mat Sabu antara menteri yang perlu ditukar, gesa MCA

MCA menggesa agar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu digantikan, dengan alasan kegagalannya menangani kekurangan telur dan beras dengan berkesan baru-baru ini.


PETALING JAYA: Dua penganalisis menggesa supaya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu digantikan, di tengah-tengah perbincangan mengenai rombakan Jemaah Menteri yang akan berlaku.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata Mohamad membuktikan beliau tidak mampu memikul tugas itu apabila mendakwa bahawa harga beras di Malaysia adalah yang paling murah di rantau ini ketika isu-isu mendesak mengenai keselamatan makanan dan kenaikan kos bahan mentah diperkatakan.

Mohamad, yang lebih dikenali Mat Sabu, membuat kesimpulannya dengan membandingkan harga dalam ringgit, yang menurut Lee menunjukkan menteri itu tidak memahami sepenuhnya situasi berkenaan.

Lee berkata perbandingan dengan negara asing mesti mengambil kira kekuatan mata wang mereka.

Sebagai contoh, beliau berkata nilai ringgit bersamaan dengan harga beras sekilogram di Brunei pasti akan lebih tinggi berikutan kekuatan dolar Brunei, menjadikan perbandingan sedemikian mengelirukan.

Lee juga berkata Mohamed kelihatan keliru mengenai perbezaan harga beras tempatan dan import apabila menjelaskan negara pengeluar beras seperti India telah mengurangkan eksport mereka.

“Oleh itu adalah penting bagi sesiapa yang dilantik menggantikannya untuk memiliki kelayakan dan latar belakang yang diperlukan sebelum menyandang jawatan itu,” kata Lee.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkongsi pandangan yang sama, sambil menambah adalah penting bagi menteri yang memegang portfolio tertentu mempunyai kepakaran latar belakang yang relevan untuk menangani isu yang mungkin timbul dengan cekap.

“Kita memerlukan menteri yang lebih berkesan dan mempunyai idea yang lebih baik untuk menangani isu kritikal sedang kita hadapi. Untuk mencapainya, kita memerlukan menteri yang mempunyai latar belakang yang sesuai,” kata Jeniri.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, MCA turut menggesa agar Mohamad digantikan dengan alasan kegagalannya menangani masalah kekurangan telur dan beras yang melanda negara sejak kebelakangan ini.

“Dia bukan sahaja gagal menghalang masalah ini daripada berlaku, dia (juga) gagal menangani kenaikan harga yang mendadak barangan keperluan harian orang ramai,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Jeniri mencadangkan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik menteri kewangan kedua untuk membantunya kerana beliau mempunyai “terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan”.

“Saya percaya bekas menteri kewangan kedua Johari Ghani mempunyai kelayakan yang diperlukan untuk peranan itu, berdasarkan pengalaman terdahulunya.”

Ahli Parlimen Titiwangsa itu adalah menteri kewangan kedua antara 2016 dan 2018 semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).


Sumber I FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo