BENTONG: Tepat jam 8 pagi ini sebanyak sembilan pusat mengundi membabitkan 30 saluran akan dibuka hingga 6 petang, sebelum proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul.
Hari ini seramai 16,456 pengundi berhak menunaikan tanggungjawab mereka untuk pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bagi memilih wakil rakyat baharu.
PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dari BN; Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas yang akan menggunakan simbol kereta.
PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kawasan itu diisytihar kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor Ogos lalu.
Cuaca diramalkan baik di daerah Bentong pada sebelah pagi manakala ribut petir dijangka pada waktu petang, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).
Bagi proses pengundian yang bermula 8 pagi hingga 6 petang ini, sebanyak sembilan pusat mengundi biasa membabitkan 30 saluran dibuka, sebelum proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini.
Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan daripada 16,456 pengundi itu, seramai 36 adalah anggota polis manakala tiga lagi Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Bagaimanapun, PRK DUN Pelangai menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 3 Oktober lepas, selepas SPR mengeluarkan 73 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.
Bagi tiga calon yang bertanding, hanya Kasim yang akan mengundi esok iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi, memandangkan Amizar dan Haslihelmy masing-masing adalah pengundi di DUN Ketari, juga dalam Parlimen Bentong.
Cuaca diramal cerah pada hari mengundi
Dalam pada itu, semakan di laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca cerah di daerah Bentong pada sebelah pagi dan malam manakala ribut petir di satu dua tempat pada waktu petang.
Mengenai siapa dilihat lebih terkehadapan dari segi peluang untuk menang PRK ini, penganalisis berpandangan BN lebih berpotensi berbanding PN dan Bebas, berdasarkan beberapa faktor.
Menurut penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis, berkata faktor yang membuatkan BN lebih kehadapan pertama disebabkan undi akar umbi UMNO yang kuat
Tambahnya, faktor kedua didorong undi Melayu terpecah menjadikan undi bukan Melayu akan menjadi faktor penentu terutama dalam kalangan pengundi Orang Asli dan Cina.
Mengenai pengundi luar, beliau tidak nampak ada faktor menyokong golongan 'perantau' itu untuk pulang bahkan motivasi pengundi setempat juga nampak 50-50 untuk keluar mengundi hari ini.
"Berbanding PRK Pulai dan Simpang Jeram, mungkin Pelangai juga kadar (peratusan) keluar mengundi hari. Mungkin disebabkan kelesuan dan melihat PRK ini sekadar isi kekosongan yang rutin dan tiada perubahan dalam kerajaan adalah penyebabnya," katanya.
Berbeza dengan jangkaan SPR yang menyasarkan peratusan keluar mengundi sehingga 75 peratus ke atas berbanding 78 peratus sewaktu PRU15.
Keputusan rasmi PRK Pelangai dijangka diketahui seawal jam 9 malam ini.
PRK DUN Pelangai adalah PRK keempat diadakan selepas PRU15 pada 19 November lalu, selepas PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos lalu serta PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang diadakan serentak pada 9 September.
No comments
Post a Comment