NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Potong gaji automatik bayar PTPTN cadangan praktikal, kata PM



PUTRAJAYA: Kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikut Income Contingent Loan (ICL) merupakan cadangan yang praktikal dan tidak membebankan peminjam, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kaedah itu yang merupakan antara cadangan dikemukakan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC), akan dilaksanakan melalui pemotongan gaji secara automatik menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Anwar berkata, kadar bayaran balik pinjaman PTPTN adalah amat rendah dan kerajaan bimbang dengan kelestarian PTPTN untuk jangka masa panjang.

“Sehingga Mei 2023, jumlah pinjaman yang belum dibayar berjumlah RM66.9 bilion. Jumlah ini sekiranya dibayar, boleh membiayai kira-kira 2.5 juta orang pelajar baharu,” katanya dalam ucapan pada majlis penutup Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Fadillah Yusof. Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin.

Anwar berkata, NRC juga mencadangkan untuk memperkenalkan mekanisme baharu pembiayaan, di mana universiti awam (UA) terikat dengan kerajaan menerusi Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA), untuk menghasilkan pelajar dan penyelidikan yang berkualiti tinggi.

Beliau berkata daripada model geran blok, cadangan yang dikemukakan adalah supaya kerajaan “membayar” kepada institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) untuk perkhidmatan pendidikan, berdasarkan formula pembiayaan berasaskan prestasi tersebut.

“Formula ini harus berdasarkan kebolehpasaran graduan, gaji siswazah, dan kualiti pendidikan. Institusi yang dapat menonjolkan prestasi yang baik, akan diperuntukkan kos yang lebih tinggi bagi setiap pelajar,” katanya.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata NRC juga mencadangkan supaya dilaksanakan kitaran perancangan belanjawan tiga tahun, seperti dilaksanakan di Hong Kong.

Beliau berkata ia akan dikawal selia oleh Jawatankuasa Geran Universiti (UGC), yang akan mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh institusi, menggariskan program dan jumlah sasaran pelajar berdasarkan bidang keperluan negara, manakala pembiayaan disediakan berdasarkan pendaftaran pelajar yang disasarkan.

Anwar berkata, NRC juga melihat kepada aspek pengembangan dana endowmen universiti, dengan menghapuskan peraturan perbelanjaan tahunan sebanyak 50% yang dikenakan terhadap endowmen dan dana wakaf.

Beliau berkata universiti terkemuka dunia seperti Universiti Harvard dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT), mempunyai dana endowmen besar yang membolehkan mereka melabur semula dalam sistem pendidikan, termasuk meningkatkan alat dan bahan pengajaran, mengembangkan penyelidikan dan menyediakan biasiswa.

“Ini akan membolehkan dana endowmen dan wakaf dapat dikembangkan dan seterusnya dilaburkan semula, bagi meningkatkan akses dan standard pendidikan tinggi,” katanya.

Anwar berkata, secara keseluruhan cadangan dikemukakan NRC, yang ditubuhkan KPT untuk mereformasikan pendidikan tinggi negara, amat baik dan boleh dibincangkan lanjut dengan pihak Kementerian Kewangan (MOF).


Sumber I FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo