Keputusan kerajaan menetapkan syarat baharu bagi membolehkan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) terus beroperasi di negara ini menunjukkan gabungan PH tidak menunaikan janjinya. |
KUANTAN - Keputusan kerajaan menetapkan syarat baharu bagi membolehkan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) terus beroperasi di negara ini menunjukkan gabungan Pakatan Harapan (PH) tidak menunaikan janjinya.
Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun berkata, selepas pengumuman Lynas pada 20 Oktober lalu berhubung keputusan menghentikan operasinya di negara ini, Menteri Sains, Teknologi dan inovasi (Mosti) Cheah Lih Kang mengisytiharkan pembaharuan lesen operasi Lynas Malaysia empat hari kemudiannya.
Menurutnya, sebelum ini pemimpin PH mengetuai rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi menentang penubuhan dan operasi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng.
"PH berjanji akan menutup operasi Lynas malah seorang calon DAP ketika itu mengancam untuk membakar LAMP sekiranya pakatan itu berjaya menawan Putrajaya.
"Apabila PH berkuasa buat kali pertama dari 2018 hingga 2020 sebaliknya yang berlaku di mana kerajaan Persekutuan yang diterajui PH ketika itu telah membenarkan lesen operasi Lynas diteruskan," katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi melalui laman sesawang MCA pada Rabu.
Siew Mun berkata, lebih mengecewakan apabila hari ini PH yang sekali lagi menerajui kerajaan telah memperbaharui lesen operasi pengeluar nadir bumi Australia itu.
"Bukan sahaja lesen perniagaan Lynas dilanjutkan, malah kerajaan melonggarkan syaratnya, membenarkan Lynas menjalankan proses pemecahan dan larut lesap yang akan menghasilkan sisa radioaktif di negara kita.
"Kerajaan malah membenarkan penyimpanan sisa radioaktif berterusan di Malaysia dan semua kebenaran ini amat dikesali," ujarnya.
Siew Mun turut mempersoalkan adakah kerajaan persekutuan tidak menghiraukan kesihatan rakyat malah 'mudah lupa' ikrarnya dan janjinya sebelum ini?
"Bukankah pelanjutan lesen Lynas melanggar janji kempen PH dan inikah pula cara PH membayar balik mandat pengundi kepada mereka?
"Pada sidang akhbar baru-baru ini, menteri Mosti itu menjelaskan salah satu syarat untuk pembaharuan lesen Lynas bergantung kepada syarikat itu memastikan kandungan radioaktif dalam sisa penulenan larut lesap air (WLP) adalah di bawah 1 becquerel (Bq) setiap gram.
"Namun kebimbangan orang ramai tidak dapat diredakan melainkan dijelaskan perincian lanjut tentang mekanisme yang akan digunakan itu," ujarnya.
Menurutnya, ia untuk memastikan Lynas benar-benar memenuhi dan mematuhi piawaian ditetapkan demi keselamatan dan kesihatan penduduk di sekitar.
"Menteri juga gagal menjelaskan bagaimana MOSTI akan menjamin bahawa sisa radioaktif itu akan dikendalikan dengan betul dan memenuhi piawaian pada masa hadapan.
"Adakah laporan berkaitan akan dikemukakan kepada Parlimen setiap tahun atau pada selang enam bulan sekali?," soalnya lagi.
Beliau berkata, kerajaan terutama agensi berkaitan perlu menunjukkan keikhlasan dalam menyelesaikan isu itu dengan memberikan rakyat maklumat yang munasabah.
"Pada masa yang sama, mereka juga mesti menjelaskan atau mengakui bahawa Pakatan Harapan telah mengingkari ikrarnya dan perlu memohon maaf kepada rakyat," katanya.
Sumber I Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment