PETALING JAYA: Reformasi secara pukal perlu dilaksanakan dalam industri pengangkutan agar jumlah kemalangan membabitkan lori di jalan raya dapat dikurangkan, menurut pakar.
Perunding keselamatan jalan raya Karen Goonting berkata, gaji rendah ditambah dengan tekanan daripada majikan memaksa pemandu lori bekerja terlalu lama sehinggakan mereka keletihan.
“Oleh sebab struktur upah (pemandu) lori selalunya menawarkan (gaji) pokok yang sangat kecil, dan mereka dibayar mengikut jumlah perjalanan, mereka cuba membuat banyak perjalanan secepat mungkin.
“Kami pernah lihat pemandu memandu selama 17 jam berturut-turut,” katanya kepada FMT.
Goonting berkata, segelintir pemandu menggunakan dadah untuk menangani tekanan dan melawan keletihan, selain memastikan mereka dalam keadaan berjaga-jaga dalam perjalanan jarak jauh.
“Ia disebabkan tekanan masa dan persekitaran yang mereka alami juga. Bukan semestinya kerana mereka semua secara kebetulan berperangai buruk dan ingin mengambil dadah. Ia (disebabkan) keadaan pekerjaan.
“Pembaharuan (diperlukan), daripada undang-undang kepada pemandu, kebajikan mereka, dan pasaran, begitu banyak perkara,” katanya kepada FMT.
Pada 20 Sept lepas, sebuah kemalangan di Putrajaya membabitkan sebuah lori dan 14 kenderaan lain menyebabkan dua penunggang motosikal maut.
Pada separuh pertama 2022 sahaja, 19,888 kemalangan melibatkan lori dilaporkan, meningkat 28% daripada tahun sebelumnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Pengangkutan Zainal Rampak berkata, majikan juga perlu dipertanggungjawabkan atas kemalangan yang berlaku.
“(Apabila) kemalangan berlaku, pemandu lori dipersalahkan. Tetapi masalahnya, majikan tidak mematuhi peraturan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, majikan dan kerajaan bertanggungjawab memastikan kenderaan syarikat diselenggara dengan baik dan pemandu mendapat rehat yang sewajarnya.
“Kerajaan bukan sahaja perlu memeriksa muatan berat lori, tetapi juga sama ada kenderaan diselenggara (dengan baik). Mereka juga harus menyemak berapa lama seseorang pemandu (lori) itu memandu di jalan raya,” katanya.
Pemandu lori, Radzi Jamil, 35, berkata pemandu sering merasa tertekan, disebabkan oleh majikan dan pelanggan, untuk memenuhi tarikh akhir penghantaran.
“Pelanggan mahukan (barangan) dihantar secepat mungkin,” katanya.
Seorang lagi pemandu, Saiful Idwan Adnan, 39, meminta empati orang ramai mengambil kira sifat pekerjaannya yang mendesak.
“Bukan mudah jadi pemandu lori. Kadang-kadang kami dituduh memandu laju, tetapi kami pandu laju kerana perlu naik bukit. Kemudian apabila kami cuba guna brek, ia tiba-tiba tak berfungsi.
“Jika tiada pemandu lori, tiada siapa yang akan dapat barang keperluan seperti makanan, kerana semuanya dihantar dengan lori,” katanya.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment