NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengguna tak mahu jadi ‘tikus makmal’ selepas subsidi ayam tamat

Suasana di Pasar Basah Chow Kit, Kuala Lumpur pada hari terakhir sebelum penamatan subsidi ayam berkuatkuasa esok. Foto MOHD NA'IM 31 OKTOBER 2023




KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan menamatkan subsidi ayam bermula esok ibarat menjadikan peniaga dan pengguna seperti ‘tikus makmal’.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Basah Chow Kit di sini hari ini  mendapati, rata-rata peniaga cuba meletakkan keyakinan kepada kerajaan agar mereka tidak ditindas namun masih meraguinya.

Bagi suri rumah, Hasnah Ahmad, keraguan itu mula timbul apabila kerajaan memaklumkan akan mempertimbang pemberian subsidi bersasar jika harga ayam naik mendadak sekali gus.

“Susah juga saya mahu cakap kerana nasib kita belum tentu lagi apa yang akan terjadi esok hari. Kita jadi gusar bila ada keputusan yang seakan tidak tuntas. Jika ada subsidi bersasar, bagaimana pula kaedahnya? Bukan perkara mudah, harap rakyat tidak jadi mangsa uji kaji,” katanya.

Kebimbangan sama turut disuarakan pesara swasta, Amer Meor yang tidak menolak kemungkinan harga ayam akan meningkat beberapa minggu selepas subsidi itu tamat.

“Memang kita faham kerajaan mahu kurangkan ketirisan, itu satu usaha patut dipuji tapi ramai meragui cara pulangan hasil penjimatan itu dikembalikan kepada rakyat.

“Misalnya bantuan tunai, adakah nilainya akan setimpal dan adil? Semua itu kurang jelas, kita cuma perlu hadap sahaja situasi ini,” ujarnya.

Peniaga ayam, Sazali Latif yang berkecimpung selama 36 tahun dalam industri itu berharap, agensi penguat kuasa kena kerap turun padang agar tiada kenaikan harga melampau yang membebankan pengguna.

Pandangan itu turut disokong peniaga ayam, Mohamad Tamimi Md sambil menyatakan cenderung memilih harga kawalan berbanding harga apungan kerana yakin kaedah itu lebih telus.

“Sejujurnya saya akan pilih harga kawalan dan saya harap kerajaan boleh pertimbangkan. Kaedah ini buatkan kita tiada alasan untuk naikkan harga sesuka hati kononnya peladang atau pembekal naik harga dan sebagainya,” ujarnya. – MalaysiaGazette












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo