KUALA LUMPUR – Pengapungan harga beberapa barangan keperluan hanya akan menyebabkan kenaikan harga yang melibatkan ‘penggabungan dan penyerapan’ harga barangan asas import termasuk harga barangan tempatan.
Pandangan itu dilontarkan Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan Awam Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Asmawar Samat yang berpendapat, perkara tersebut akan menjadikan jenama beras keluaran tempatan yang heboh diperkatakan sebelum ini menjadi sukar untuk diperoleh atau tiada lagi di pasaran.
Beliau berkata, tinjauan yang dibuat pihaknya pada 19 Oktober dan 27 Oktober lalu di restoran-restoran di Putrajaya mendapati, peniaga sekarang telah menggunakan beras Jasmine Super Import yang naik RM10 kepada RM44.90 untuk 10 kilogram sekampit.
Katanya, situasi itu berlaku susulan tiada lagi beras tempatan berharga RM26 untuk 10 kilogram sekampit.
“Ini bermakna kenaikan kos penyediaan makanan nasi meningkat sebanyak 22 peratus adalah satu kenaikan yang agak tinggi.
“Manakala, golongan bawahan M40 dan B40 yang biasa membeli beras tempatan akan mengalami kenaikan membayar sebanyak 41 peratus (RM44.90 hingga RM26.00), satu kenaikan yang tinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Asmawar yang juga Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan Awam
Parti Putra berkata, tinjauan turut mendapati, harga makanan dan minuman untuk seorang di restoran biasa juga telah meningkat.
“Kalau dulu biasa boleh makan dan minum antara RM7 hingga RM10, kini telah meningkat kepada RM13.00 hingga RM15.00. Ini bermakna peningkatan sebanyak 33 peratus telah berlaku.
“Peningkatan mendadak ini juga melibatkan harga sewa premis perniagaan yang dijangka turut meningkat mulai awal tahun 2023,” ujarnya.
Tambah beliau, rata-rata ramai orang menimbulkan persoalan sama ada ‘pengapungan harga’ satu langkah yang praktikal atau tidak.
Perkara itu katanya, tidak boleh dibiarkan berlaku lama dan perlu diintervensi segera dengan pengeluaran bahan-bahan makanan asas yang utama dengan banyak dan murah.
“Belanjawan 2024 menyatakan pengawalan kos sara hidup dan peningkatan pendapatan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan diberi tumpuan dan perhatian.
“Sehubungan itu, pihak kerajaan perlu memastikan agar rakyat golongan sederhana dan bawahan tidak mengikat perut dan sesak nafas menghadapi inflasi yang bakal melanda.
“Sebarang kelemahan dan kegagalan pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan agensi berkaitan menangani isu yang melibatkan periuk nasi rakyat sudah pasti Kerajaan Madani adalah Kerajaan Retorik bercakap lebih, gagal merancang, tidak tegas dan tewas kepada kartel-kartel yang menjarah darah rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment