KUALA LUMPUR: Tindakan dan pendekatan yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu Palestin ketika ini mendapat sokongan penuh daripada blok pembangkang.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ia menunjukkan Malaysia mempunyai kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyat Palestin.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) merakamkan sokongan serta dukungan sepenuh jiwa raga terhadap perjuangan suci rakyat Palestin dalam menuntut erti sebuah kebebasan dan kemerdekaan.
“Ini adalah perbuatan genosid ke atas rakyat Palestin yang wajib ke atas kita semua menentangnya dengan sekuat-kuat iman dan atas nilai kemanusiaan sejagat,” katanya ketika memulakan sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam.
Jelasnya, sokongan pihak pembangkang juga menunjukkan solidariti secara bersama terhadap Palestin.
“Ini membuktikan bahawa kami di sebelah sini akan sentiasa menyokong pendekatan yang diambil kerajaan untuk membantu rakyat Palestin dalam perjuangan ini,” katanya.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula berkata, ada tindakan Israel mempermainkan Asia Barat kononnya untuk penyelesaian damai tapi mereka menangguhkan damai seperti two-state solution atau penyelesaian dua negara.
“Kita perlu berusaha supaya negara Arab dan Islam melakukan normalisasi iaitu cerai Israel, dalam keadaan Israel tidak menerima semua perkara. Penyelesaian dua negara walaupun sudah dipersetujui, perundingan acap kali dibuat namun penghijrahan Yahudi terus dilakukan di Palestin dalam keadaan mereka merampas rumah orang Palestin, kebun, kedai dan sebagainya.
“Mereka dilindungi tentera Israel, kita perlu memujuk negara Islam kerana negara Barat membantu bertali arus, hantar senjata seperti Amerika Syarikat hantar kapal perang, kapal induk untuk berperang sama, ini sikap kufur.
Jadi, saya nak ingatkan, kita jangan terjebak dengan permainan ini,” katanya. – UTUSAN
No comments
Post a Comment