NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS mampu bantu PN tawan Perak, Pahang, kata penganalisis

PAS berjaya mengukuhkan kedudukannya dengan ketara dalam DUN Perak dan Pahang pada PRU tahun lepas. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: PAS mampu menguasai DUN Perak dan Pahang pada pilihan raya akan datang memandangkan sokongan pengundi Melayu baginya semakin meningkat, kata penganalisis.

Chin Yee Mun, yang mengetuai Pusat Kajian Sosial dan Dasar Tan Cheng Lock di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) berkata, keputusan PRU15 pada November lepas menunjukkan parti itu semakin dekat mengejar Barisan Nasional (BN).

“Kerusi yang dimenangi BN di kawasan majoriti Melayu (pada PRU15) semakin berkurangan,” katanya kepada FMT.

“Perikatan Nasional (PN) berjaya bertapak dan kejayaan ini sebahagian besarnya disebabkan penyokong PAS.”

PAS hanya memenangi tiga kerusi DUN di Perak pada PRU14, tetapi berjaya memperoleh 17 kerusi pada PRU15, apabila pilihan raya negeri dijalankan serentak.

Di Pahang, parti itu menambah tujuh kerusi kepada lapan yang dimenanginya pada PRU14 mereka, menjadikan jumlah keseluruhan kerusinya dalam DUN sebanyak 15.

Dengan Bersatu memenangi sembilan kerusi di Perak dan dua di Pahang, PN kini memegang sejumlah 26 daripada 59 kerusi dalam DUN Perak, dan 17 daripada 42 kerusi DUN Pahang.

Pada Muktamar PAS baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya Sanusi Nor berkata, parti itu menyasarkan untuk merampas kedua-dua negeri itu daripada BN pada PRU seterusnya.

Chin berkata, komposisi kaum negeri-negeri tersebut membolehkan kemenangan diperoleh dalam masa terdekat. Sebarang sokongan yang diraih daripada pengundi bukan Melayu malah akan tambah mengukuhkan kedudukan PAS, katanya.

“Mereka boleh buat dengan ‘cara sukar’ (tanpa sokongan bukan Melayu), tetapi ini bermakna akan berlaku perpecahan undi, dan ini tidak sihat, sekalipun mereka menang,” katanya.

Beliau berkata, PAS masih perlu membuktikan ia mempunyai potensi layak menguruskan ekonomi untuk meyakinkan pengundi “atas pagar” seperti penyokong Umno yang hampa.

“Konsep ‘state government 4’ (SG4) masih baharu dan mungkin tidak membuahkan hasil yang meyakinkan dalam masa terdekat,” katanya, merujuk gabungan empat negeri pimpinan PAS, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.

“Bagaimanapun, empat negeri ini perlu menjana dasar yang mampu menarik modal dan bakat untuk membangunkan ekonomi yang kukuh.”

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya (UM) bersetuju PAS mencapai kemajuan yang memberangsangkan di negeri-negeri tersebut, tetapi tidak menjangkakan matlamat parti itu akan dapat dipenuhi dalam jangka pendek.

Hal ini kerana PAS telah “melepaskan geram” pada golongan bukan Melayu ketika kempen sebelum ini, katanya. Sangat mencabar untuk cuba dapatkan mereka kembali sekarang, tambahnya.

“Sukar bagi PAS untuk meraih undi bukan Melayu melainkan parti itu mengubah sikap dan prinsipnya,” kata Awang Azman.


Sumber I FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo