NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS gesa kaji agihan kuasa persekutuan, negeri

Usul dibawa Perwakilan Muslimat Siti Mastura Muhammad disokong sebulat suara dalam Muktamar PAS ke-69.


SHAH ALAM: PAS meluluskan usul menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya mengkaji semula agihan kuasa antara persekutuan dan negeri yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan sejak 60 tahun lalu.

Perwakilan Muslimat, Siti Mastura Muhammad yang membawa usul itu berkata, pemusatan kuasa terlalu besar kepada kerajaan persekutuan dilihat memberi banyak masalah antaranya ketirisan, salah guna kuasa serta gagal memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Katanya, dengan kuasa terlalu besar dimiliki Putrajaya menyebabkan berlaku diskriminasi secara terang-terangan kepada negeri ditadbir parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan.

“Suruhanjaya itu keanggotaannya perlu rentas negeri, parti, kaum dan bangsa. Kerajaan persekutuan dan negeri perlu menghormati dan mematuhi segala peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan agihan kuasa.

“Kerajaan juga perlu pertimbang agihan kuasa secara serius dengan memberikan lebih kuasa kepada negeri, bukan sahaja kepada Sabah dan Sarawak bahkan negeri (lain) bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Perlu juga wujud hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri lebih baik dalam pelbagai aspek pelaksanaan kuasa yang terkandung dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika mencadangkan usul itu dalam Muktamar PAS ke-69.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu turut menyarankan kerajaan tidak bersikap “double standard” sama ada dari segi layanan kepada ketua kerajaan atau mana-mana kakitangan negeri dalam agihan peruntukan serta projek pembangunan.

Beliau turut menggesa pemansuhan agensi atau badan berkanun yang ditubuhkan untuk mengalihkan peruntukan pembangunan negeri bawah kawalan kerajaan negeri.

Usul itu kemudian disokong perwakilan Tumpat, Mumtaz Md Nawi, sebelum dipersetuju sebulat suara semua perwakilan.

Lima usul lain diluluskan adalah PAS sebagai ejen penerangan utama dalam isu pemanasan global dan perubahan iklim dan parti itu akan mempertahankan Palestin.

PAS juga akan menarik sokongan anak muda kepada Perikatan Nasional (PN), memperkasa kedudukan perundangan Islam dan Mahkamah Syariah.

Bagi usul terakhir iaitu mempertahankan kebebasan media dan kebebasan berpersatuan, wakil Muslimat PAS Husna Hashim mendesak kerajaan tidak menggunakan kuasa sewenangnya untuk menekan mana-mana pihak serta parti politik yang tidak menyokong parti pemerintah daripada bersuara di media arus perdana atau media sosial.

“Tidak memberikan layanan berbeza antara parti politik yang mana tindakan sebegini tidak selari dengan prinsip kesamarataan dijamin Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak menggunakan mana-mana agensi kerajaan atau sebarang undang-undang dengan cara yang tidak wajar untuk mengenakan tindakan yang tidak munasabah kepada mana-mana pihak yang bercanggah dengan pihak kerajaan,” katanya.


Sumber I FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo