PLKN diperkenalkan pada Disember 2003 sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada Ogos 2018. |
PETALING JAYA: Menteri Pertahanan Mohamad Hasan mendedahkan cadangan meneruskan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mungkin menelan belanja tidak lebih RM100 juta setahun.
Beliau berkata jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk mengkaji mengenainya dengan mempertimbangkannya dibahagikan kepada dua fasa – pertama untuk pelajar masih bersekolah dan kedua, untuk mereka tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mohamad berkata fasa dua program itu boleh dilaksanakan di 13 kem wataniah di seluruh negara dan satu Pusat Latihan Polis (Pulapol) sambil menyifatkan rancangan itu lebih “sesuai” dan boleh memuatkan 25,000 pelatih setiap sesi.
Jurulatih untuk fasa dua juga boleh terdiri daripada pasukan tentera dan polis, dan tempoh latihan juga akan dikurangkan daripada tiga bulan kepada 45 hari bagi setiap fasa.
“Kalau dahulu kita berbelanja lebih RM500 juta setahun, tetapi kali ini daripada kertas kerja oleh jawatankuasa ini, kita tidak akan berbelanja lebih RM100 juta. (Ia) penjimatan yang baik,” katanya kepada Dewan Rakyat.
Beliau berkata fasa dua program itu akan memberi tumpuan terutamanya kepada latihan ketenteraan. Fasa satu pula akan memberi tumpuan kepada pengajaran nasionalisme melalui rombakan kokurikulum unit beruniform di sekolah menengah.
Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), yang bertanya sama ada kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk memperkenalkan semula PLKN sebagai inisiatif di bawah Kementerian Pertahanan.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, apabila laporan penuh jawatankuasa khas itu siap di peringkat kementerian, ia akan dirujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kelulusan.
Beliau turut mengalu-alukan cadangan Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) untuk mengambil veteran tentera sebagai jurulatih bagi program itu, kerana ramai yang menganggur selepas bersara.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment