Kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang masih dalam pembinaan di limbungan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd di Lumut, Perak. |
Kerajaan campuran digesa mendedahkan Perjanjian Tambahan Keenam (SA6) bagi projek Kapal Peronda Generasi Kedua (LCS), kata kumpulan pemerhati rasuah.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata perjanjian dimerterai dalam LCS perlu diteliti semula dan diberikan perhatian serius dengan membabitkan Jabatan Peguam Negara (AGC), ia susulan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mendedahkan badan itu tidak dirujuk dalam perjanjian tersebut.
Presidennya, Jais Abdul Karim, berkata kerajaan dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) perlu serius menekankan aspek ketelusan serta akauntabiliti dalam pengurusan projek berkenaan.
Katanya, penyediaan maklumat lebih jelas mengenai kos, masa dan perkembangan projek supaya ia boleh diakses oleh orang awam atau pemegang saham untuk mendapat gambaran lebih tepat.
“Keputusan untuk tidak mendapatkan persetujuan (AGC) bagi Perjanjian SA 6 wajar diteliti semula dan diberikan perhatian serius.
“Berdasarkan senario ini, kami mendesak semua perjanjian kontrak dengan syarikat perlu dirujuk dan disemak oleh AGC bagi memastikan kepatuhan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
PAC sebelum ini mengecam tindakan MINDEF memeterai perjanjian tanpa persetujuan daripada AGC berhubung SA6 yang dimeterai pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 2023) pada Mei lalu.
Bagaimanapun, MINDEF menafikan pihaknya membelakangkan AGC dalam menandatangani SA6, sebaliknya menegaskan AGC sentiasa dilibatkan dan memberi kerjasama yang sangat baik dalam proses memuktamadkan draf SA6.
Dalam pada itu, Jais berkata, MCW menggesa supaya kawalan dan pemantauan terus ditingkatkan untuk memastikan projek terbabit dapat diselesaikan dalam masa lebih cepat dengan anggaran kos yang lebih jimat.
Jelasnya, kelewatan menyiapkan reka bentuk dan pelaksanaan perjanjian kontrak perlu diteliti dengan serius.
“Kerajaan perlu lebih telus membabitkan pemegang saham, orang awam dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat secara aktif membuat pemantauan ke atas projek ini.
“Pembabitan orang awam yang berpengalaman dan NGO pasti dapat membantu menjaga akauntabiliti dalam pengurusan projek ini kerana semua kontrak perlu dipatuhi dan pengawasan sepenuhnya perlu ditingkatkan untuk memastikan prestasi syarikat kontraktor berkenaan,” katanya.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment