NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MCA sedia gerak solo jika BN tinggalkan sekutu, kata Wee

Wee Ka Siong berkata MCA mesti berpegang pada keyakinan pendahulunya dan kekal sebagai parti politik. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: MCA sedia melakar hala tujunya sendiri jika mana-mana parti dalam Barisan Nasional (BN) memutuskan secara rasmi menjalin hubungan baharu dan meninggalkan sekutu sedia ada, kata Presiden Wee Ka Siong.

Beliau berkata, partinya bersedia untuk “bebas” walaupun ini bermakna perlu bermula daripada bawah.

“Paling penting, MCA mesti bertegas menjadi sebuah parti politik, bukan pertubuhan kebajikan,” katanya dalam ucapan pada Perhimpunan Agung MCA ke-70, lapor The Star.

Menurut Wee, pada 1951, apabila pengasas MCA Tan Cheng Lock mentransformasi MCA daripada sebuah pertubuhan kebajikan menjadi parti politik, tokoh itu berdepan tentangan yang ketara dari dalam.

“Pada masa itu, beliau (Tan) berkata: ‘Jika MCA terus sebagai pertubuhan kebajikan, saya tidak akan kekal dalam MCA. Pandangan saya, MCA sebuah parti politik.’

“Itu keyakinan pendahulu kita yang akan terus kita pegang,” kata Wee.

Beliau berkata, landskap politik menyaksikan perubahan selepas PRU15, yang mengubah dinamik dalam kalangan parti komponen BN.

“Terdapat cabaran yang jelas terhadap semangat muafakat yang dipegang sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan MCA mesti terus bekerjasama dengan individu dalam semua parti komponen BN atas prinsip bersama untuk menggubal reformasi dan mengukuhkan semula nilai teras gabungan itu.

Ahli Parlimen Ayer Itam itu juga berkata, MCA mesti merancang kemunculan semula yang padu dalam politik arus perdana pada PRU akan datang.

“Sebagai parti yang terlibat secara aktif dalam penubuhan negara kita, kita tidak boleh selamanya menjadi ahli gabungan yang tertakluk pada kuasa budi bicara pihak lain,” katanya.

Tiada ‘kerjasama menyeluruh’ dengan DAP

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon dalam ucapannya sebelum ini menolak “kerjasama menyeluruh” dengan DAP.

Katanya, ia tidak diperlukan, malah masanya tidak sesuai.

Beliau berkata, MCA menjadi sasaran serangan dan fitnah oleh DAP selama beberapa dekad, malah parti itu mahu melenyapkan MCA dari segi politik.

“Sentimen negatif yang terkumpul terhadap parti tidak boleh diketepikan dengan mudah,” katanya.

Beliau mendakwa, DAP masih menganggap MCA sebagai “punching bag” dan menyalahkan MCA atas kepincangan mereka sendiri.

Bagaimanapun, Mah berkata, jika DAP selaras dengan prinsip MCA, kedua-dua parti itu boleh terus bekerjasama dalam perkara tertentu bagi melindungi kepentingan masyarakat Cina.


Sumber I FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo