GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman di daerah ini mendakwa terpaksa membeli beras pada harga tinggi seperti ditetapkan oleh peruncit.
Orang Asli suku kaum Temiar Anglah Angah, 41, yang tinggal di Kampung Kelaik, Pos Blau berkata beliau antara penduduk terkesan dengan harga barangan mahal dikenakan kepada pembeli di kawasan pedalaman.
Anglah berkata, disebabkan tidak tahan dengan harga tinggi, adakalanya beliau terpaksa keluar ke bandar untuk mendapatkan bekalan makanan asas.
“Di kampung harga 10kg beras mencecah sehingga RM50 lebih, beras 5kg dijual dengan harga mencecah RM20, manakala sepeket gula pula dijual pada harga RM5.
“Ahli keluarga saya seramai lapan orang jadi 10kg beras hanya boleh tahan untuk seminggu sahaja. Hari ini saya menempuh perjalanan hampir 100km dengan motosikal untuk datang ke bandar Gua Musang mendapatkan beras yang lebih murah hanya RM39 untuk 10 kg,” katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Baru.
Menurut seorang lagi penduduk, Along Uda, 30, penduduk yang majoriti bekerja kampung dan mencari hasil hutan semakin tertekan dengan harga barangan yang semakin meningkat akhir-akhir ini.
“Kebanyakan penduduk di kampung ini menjual buluh di Blue Valley, Tanah Tinggi Cameron (Pahang) dengan harga RM0.50 sebatang. Harga buluh semakin murah tetapi harga beras dan makanan lain semakin naik.
“Kita memang terhimpit dengan keadaan sekarang kerana kami bergantung makanan asas dengan beras kerana ubi kayu sudah tiada sebab kawasan kebun sekarang sudah menjadi ladang Musang King,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Gerakan Pengguna Daerah Gua Musang, Zamzani Harun berkata pihaknya telah mendapat aduan secara lisan dari penduduk Orang Asli yang rata-ratanya tinggal di kawasan pedalaman mengenai harga barangan tinggi di penempatan mereka.
“Mereka mengadu harga beras naik mendadak dan penduduk yang tinggal di pedalaman ini meminta Gerakan Pengguna supaya memantau harga di kawasan terbabit.
“Kita telah memaklumkan perkara ini kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya melakukan lawatan dan penyiasatan.
“Saya harap kenaikan harga makanan asas ini tidak berpanjangan dan kerajaan dapat menangani isu ini untuk membolehkan pihak pemborong dan peruncit memberi harga berpatutan kepada pengguna,” katanya.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment